JDT kini tidak jauh ketinggalan dengan pasukan dari Eropah – Jordi Amat
Pemain kebangsaan Indonesia Jordi Amat mengakui terdapat perbezaan ketara bola sepak Asia Tenggara dan Eropah, namun kelabnya Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah mula merapatkan jurang itu.
“Ya, saya pernah bermain di Eropah jadi saya boleh katakan ada perbezaan di mana bola sepak di Eropah lebih taktikal di mana pasukan mahu menguasai bola.
Apabila saya datang ke Asia Tenggara ia satu cabaran besar kerana bola sepaknya cukup berbeza terutamanya bermain bersama JDT.
Bermain di JDT adalah momen yang bagus kerana anda dapat melihat idea JDT dan bola sepak mereka serta memperlihatkan mereka kini tidak jauh ketinggalan dengan pasukan dari Eropah,”
katanya.
Jordi yang merupakan kapten JDT kini bersama pasukan kebangsaan dalam kempen Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung di Doha, Qatar.
Dalam pada itu, beliau turut memuji fasiliti hebat yang ada di Doha dan berharap agar Liga Super Malaysia dan Liga 1 Indonesia dapat mengikut jejak langkah sama.
“Saya harap liga seperti Malaysia dan Indonesia dapat tiru perkara baik yang dilakukan Qatar terutamanya padang yang cukup sempurna kerana kita perlukan untuk tingkatkan kualiti bola sepak.”
Tambahnya lagi, negara seperti Jepun dan Korea Selatan sudah lebih 20 tahun melakukan perkara sama dan oleh sebab itu mereka kini merupakan kuasa besar di Asia dan dunia.
“Kita perlu pertingkatkan lebih lagi untuk capai tahap sama seperti mereka satu hari nanti.”