Malaysia perlukan tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi untuk jadi pencabar utama ASEAN – Saifuddin Abu Bakar

79

Bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar gembira melihat perkembangan positif pasukan kebangsaan Malaysia yang berjaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas lebih 40 tahun.

Saifuddin bagaimanapun berkata, pasukan kebangsaan memerlukan tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi untuk menjadi pencabar utama di rantau Asia Tenggara (ASEAN).


“Saya rasa untuk jadi pencabar di rantau ASEAN kita perlukan masa yang mana saya berpendapat kita perlukan tempoh sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun lagi untuk menjadi pencabar utama di ASEAN.

Kita perlu menyertai lebih kejohanan-kejohanan di peringkat antarabangsa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang kini berada di Doha, Qatar sebagai Pesuruhjaya Perlawanan untuk Piala Asia 2023 turut sempat berkongsi pandangan peribadinya mengenai peluang skuad Harimau Malaya dalam kempen kali ini terutamanya selepas kekalahan 4-0 kepada Jordan dalam perlawanan pertama.

“Memang bila kita menang  banyak di tempat sendiri peminat mula meletak harapan tinggi tapi kita kena fikir peningkatan berlaku dalam tempoh yang singkat jadi ia masih belum kukuh untuk kita pergi ke peringkat paling tinggi.

Tapi kita berjaya ke peringkat tertinggi Asia yang dikatakan sebagai mini Piala Dunia. Jadi kita kena bersikap realistik, kalau menang atau seri tu bonus tapi untuk mengatakan kita hendak menang tu susahlah.”

Tambahnya lagi, skuad negara masih perlukan masa kerana katanya, ‘Kota Rom Tidak Dibina Dalam Sehari’.

Dalam pada itu, Saifuddin turut gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh pasukan B-23 negara yang turut memperlihatkan peningkatan yang positif apabila turut berjaya melayakkan diri ke Piala Asia B-23 2024 pada April depan.

“Pentas tertinggi Asia ini adalah peluang terbaik untuk pemain-pemain negara timba pengalaman berharga dan pasukan B-23 kita juga layak  Piala Asia.

Jadi saya harap pembangunan bola sepak akar umbi negara akan terus konsisten.”