‘Passion’ terhadap kerjaya Pesuruhjaya Perlawanan jadi faktor utama Saifuddin lepas jawatan di FAM
Saifuddin Abu Bakar merupakan nama yang cukup dikenali dalam dunia bola sepak Malaysia kerana beliau merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak September 2021 sebelum mengambil keputusan untuk meletak jawatan pada Ogos 2022.
Biarpun memegang jawatan itu dalam tempoh yang singkat, namun Saifuddin merupakan individu yang terlibat secara langsung dalam sejarah kejayaan pasukan Harimau Malaya melayakkan diri ke Piala Asia 2023 secara merit selepas lebih 40 tahun.
Menurutnya, beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya dalam badan induk bola sepak negara kerana minatnya yang cukup mendalam terhadap tugas sebagai Pesuruhjaya Perlawanan.
“Saya ambil peluang yang diberikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang merupakan rakan baik saya sejak dari FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) lagi. Saya cuba untuk jalankan tugas saya sehabis mungkin.
Mungkin cara saya atau sebaliknya tidak bersesuaian dalam FAM, tapi tak apa kerana ia satu pengalaman. Saya juga bangga kerana masa jadi Setiausaha Agung, Malaysia layak ke Piala Asia selepas lebih 40 tahun.
Kemudian saya fikir lebih baik saya sambung karier saya sebagai Pesuruhjaya Perlawanan kerana kerja ini tidak terlalu tertekan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Saifuddin ditemui di hotel penginapannya yang mana beliau sedang bertugas sebagai Pesuruhjaya Perlawanan untuk kejohanan Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung di Doha, Qatar.
Dalam pada itu, selain kejohanan yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), beliau yang aktif dengan tugasan secara freelance turut terlibat dalam kejohanan yang dianjurkan oleh Federasi Bola Sepak ASEAN (AFF).
“Selain perlawanan di Piala Asia, saya juga terlibat dalam perlawanan-perlawanan di Asia lain termasuk AFC Champions League, Piala AFC, kelayakan Piala Dunia/Piala Asia dan lain-lain.”