Penyokong ada hak untuk letak harapan tinggi kerana mereka juga berkorban – Hannah Yeoh

76

Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu penyokong pasukan kebangsaan mempunyai hak untuk meletak harapan tinggi terhadap skuad Harimau Malaya kerana mereka juga berkorban untuk negara.

“Kita kena faham yang penyokong ambil cuti dan bayar duit sendiri untuk datang dan seperti penyokong lain ini adalah harapan mereka, jadi mereka layak mempunyai harapan tinggi tersebut kerana mereka juga ada pengorbanan mereka.

Kalau kritikan penyokong kita ambil dengan baik, kita mampu buat penambahbaikan,”

katanya.

Hannah bagaimanapun menasihati pemain-pemain supaya tidak bermain media sosial, sebaliknya fokus untuk perlawanan yang bakal dihadapi.


Beliau berkata demikian ketika hadir pada sesi latihan pasukan kebangsaan yang berlangsung di Qatar University bagi memberi kata-kata semangat sebelum perlawanan menentang Bahrain esok pada aksi kedua Kumpulan E Piala Asia 2023.

Dalam pada itu, Hannah juga memberitahu selepas tamat kempen Piala Asia nanti pihaknya akan membuat kajian pasukan yang berada dalam kumpulan yang sama dengan skuad negara bagi mengenal pasti persiapan dan sokongan yang diterima mereka.

“Apa yang saya lihat selepas ini adalah untuk mengkaji dalam kumpula ini kalau kita lihat negara yang kita lawan, apa persiapan yang mereka lakukan dan apa bentuk sokongan yang mereka ada di negara mereka.

Kita tak boleh bandingkan ranking sahaja tak cukup. Kita kita lihat berapa bajet mereka, apa jenis insentif cukai di negara mereka. Persiapan ini kita tak boleh lihat 90 minit di atas padang sahaja.

Kita akan melihat keseluruhan dan ini adalah peranan KBS untuk melihat. Saya sudah minta info daripada Presiden FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) Datuk Hamidin Mohd Amin dan kita akan kaji secara teliti.”

Jelasnya lagi, beliau mahu memastikan KBS memainkan peranan untuk membantu pembangunan bola sepak negara.