KBS sedang pertimbang untuk beri geran kepada FAM  – Hannah Yeoh

66

Menteri Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu bahawa pihaknya kini sedang melihat bantuan berbentuk geran yang boleh diberikan oleh kerajaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengurangkan beban mereka dalam mencari dana.

“Kita akan melihat geran yang kerajaan boleh bagi kepada FAM untuk mengurangkan beban mereka cari dana dari luar dan penaja, dan ini boleh dilakukan melalui geran secara terus kepada mereka atau boleh melihat dari segi insentif cukai yang kita boleh bagi pada pihak swasta untuk mereka melabur dalam sukan.

Perkara ini sedang diteliti bersama Kementerian Kewangan dan pasukan saya juga sedang buat kajian untuk melihat negara-negara yang kita lawan ni berapa perbelanjaan pasukan Korea Selatan, Bahrain dan Jordan berbanding pasukan Malaysia.

Kita akan buat perbandingan ‘apple to apple’ bagi memastikan kita tahu kedudukan ranking mereka apabila beraksi dalam kejohanan dan kedudukan ranking kita supaya jangkaan kini ini berpijak di bumi yang nyata,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hannah pada masa sama turut memberitahu bahawa pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan FAM, MFL (Malaysian Football League), kelab bola sepak dan juga persatuan bola sepak negeri bagi membincangkan tentang program pembangunan bakat.


“Perbelanjaan MSN (Majlis Sukan Negara) setiap tahun RM20 juta untuk NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) yang mana ia bagus tapi mungkin langkah ada penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk pastikan ia ada kesinambungan dari NFDP ke peringkat kelab dan kemudiannya pemain terbaik ini diserap ke pasukan kebangsaan.”

Dalam pada itu, beliau juga berkata setiap pihak perlu terima kritikan daripada peminat dengan terbuka untuk cuba memperbaiki segala kelemahan supaya perkara sama tidak berulang lagi.

Ini kerana menurut Hannah, peminat juga mempunyai hak untuk mengkritik kerana mereka juga berkorban untuk negara seperti mengambil cuti, mengeluarkan wang sendiri untuk terbang ke Doha bagi memberikan sokongan buat pasukan kesayangan.

“Saya rasa pasukan kena terima kritikan ini dan pastikan malam ini (menentang Bahrain) mereka tidak melakukan kesilapan sama. Saya harap mereka akan bertenang dan ambil peluang dapat mewakili negara untuk bermain dengan bersungguh-sungguh dan jangan gentar dengan pihak lawan.”

Skuad Harimau Malaya bakal turun menentang Bahrain dalam aksi kedua peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023 yang mana ia merupakan perlawanan wajib menang sekiranya mereka mahu peluang untuk mara ke pusingan 16 terbuka.

Terdahulu, skuad kendalian Kim Pan-gon tewas besar 4-0 kepada Jordan dalam perlawanan pertama 15 Januari lalu.