Bahrain memang layak menang malam ini – Juan Antonio Pizzi
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Bahrain, Juan Antonio Pizzi berkata pasukannya sememangnya layak menang pada aksi menentang Malaysia biarpun terpaksa menunggu di penghujung babak kedua.
Menurut Antonio Pizzi, pemain-pemainnya bermain dengan cukup baik dan kerap melakukan serangan demi serangan sejak dari minit pertama lagi.
“Ia perlawanan yang cukup sukar buat kami. Kami layak untuk menang kerana kami push sehingga ke hujung perlawanan.
Ya kami menang di saat-saat akhir tapi ia bukan nasib baik tapi kami memang berhak menang,”
katanya.
Beliau turut berkata pasukannya boleh menjaringkan lebih banyak gol kerana banyak mencipta peluang tetapi gagal memanfaatkan peluang yang ada.
Dalam pada itu, kemenangan pada malam tadi menyaksikan mereka kini berpeluang untuk mara ke pusingan 16.
“Sudah pasti kami kini mempunyai peluang untuk mara ke peringkat seterusnya dengan membuat persiapan rapi sebelum menentang Jordan nanti.”
Dalam pada itu, tonggak utama yang juga Pemain Terbaik pada perlawanan malam tadi iaitu Ali Madan bersyukur apabila dapat menjaringkan gol kemenangan buat pasukannya.
“Alhamdulillah, saya cukup teruja dapat menjaringkan gol kemenangan ini kerana perlawanan tadi cukup sukar.
Kami patut jaringkan gol lebih awal lagi tapi tidak mengapa kita dapat juga jaringkan gol pada lewat permainan.”
Ali turut memuji pasukan Malaysia yang disifatkan mempunyai elemen yang baik terutamanya ketika sedang bertahan.