KBS pula buat ‘U-turn’ penstrukturan elaun atlet

233

Nampak sejak kebelakangan ini semakin banyak persatuan buat keputusan mencetuskan kontroversi yang mengundang kemarahan ramai, namun tidak lama kemudian membuat pusingan ‘U’ dan terbaru Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Selepas mendapat kecaman hebat daripada atlet dan orang ramai selepas mengumumkan pemotongan elaun atlet, KBS semalam telah mengumumkan penstrukturan semula elaun atlet.


Dalam pengumuman itu, sebanyak 45 atlet dan 12 atlet para yang meraih pingat perak akan dinaikkan dari RM800 kepada RM1,500 manakala pingat gangsa akan menerima RM1,000.

Sementara itu elaun bagi pemenang pingat emas kekal dengan kadar elaun RM2,000.

Penstrukturan elaun baru oleh KBS ini nyata menggembirakan atlet yang terkesan, tetapi persoalan yang timbul adalah mengapa perlu buat sesuatu keputusan seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ sedangkan KBS mempunyai ramai orang bijak pandai?

Kenapa perlu tunggu atlet dan orang ramai bersuara baru tiba-tiba nak semak semula keputusan yang dibuat? Ada campur tangan daripada pihak tertentu ke dalam setiap keputusan yang dibuat?

Dengan penstrukturan ini membuktikan bahawa KBS mempunyai dana yang secukupnya tetapi mengapa perlu potong elaun atlet secara mendadak? Mungkin akan ada pihak yang berkata ia adalah keputusan untuk membuat penjimatan, tetapi atlet-atlet ini telah bermatian-matian berjuang untuk negara tercinta tetapi layanan yang diterima amat mengecewakan.

Adakah penjimatan dilakukan untuk tujuan politik memandangkan khabar angin mengatakan tahun ini Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan, jadi sudah semestinya banyak dana diperlukan untuk berkempen.

Dalam apa jua situasi sekali pun, dana yang diperuntukan oleh kerajaan kepada atlet sepatutnya disalurkan kepada atlet seperti yang telah termaktub dalam kontrak mereka.

Jadi diharap pihak KBS selepas ini akan lebih peka dan membuat kajian dengan teliti sebelum membuat sebarang keputusan kerana ramai individu bijak pandai dalam kementerian itu, jadi buat keputusan yang bijak juga.

Apa-apa pun tahniah diucapkan kepada KBS kerana berjaya menyelesaikan kemelut elaun atlet dengan pantas sekaligus dapat menaikkan semula semangat atlet negara yang bakal mengharungi empat temasya utama tahun ini.

Kontinjen negara akan diuji pada temasya Sukan Sea di Vietnam dari 12 hingga 23 Mei ini diikuti Sukan Komanwel di Birmingham bermula 28 Julai hingga 8 Ogos dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dari 10 hingga 25 September.

Semoga atlet negara beroleh kejayaan demi Malaysia tercinta. Majulah sukan untuk negara.