Helio berterima kasih kepada Kim Pan-gon kerana beri peluang padanya ketika kendali skuad Hong Kong

173

Pemain pertahanan naturalisasi Hong Kong, Helio berterima kasih kepada bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan itu iaitu Kim Pan-gon yang memberi kepercayaan dan peluang kepadanya apabila mula menyarung jersi skuad negara.

Menurut Helio, Pan-gon merupakan seorang pengendali yang cukup berpengalaman dan tidak lokek untuk memberi tunjuk ajar.


“Beliau merupakan ketua jurulatih pertama saya ketika bermain untuk Hong Kong. Beliau seorang yang baik dan cukup berpengalaman. Saya cukup gembira dapat bermain dibawah kendalian beliau.

Banyak perkara dan ilmu yang saya timba daripada beliau termasuk sering memberi saya peluang untuk turun beraksi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau turut berkongsi taktikal yang diterapkan oleh Pan-gon yang mana ketika itu mereka sering bermain secara bertahan sebelum melakukan serangan balas pantas.

“Kami bermain secara serangan balas kerana beliau mempunyai gaya permainan bertahan yang mana kita akan kekal dalam posisi sebelum melakukan serangan balas pantas. Ketika itu kami berjaya dapat keputusan yang bagus.”

Pengendali dari Korea Selatan itu mengemudi pasukan Hong Kong dari tempoh 2012 hingga 2017 sebelum pulang ke tanah air untuk bersama Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA).

Dalam pada itu, Hong Kong yang tewas dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan Piala Asia 2023 masih lagi berpeluang untuk mara ke pusingan 16 sekiranya mereka berjaya menewaskan Palestine pada 23 Januari ini.

“Mereka adalah pasukan yang kuat dan kami sudah melihat perlawanan mereka. Mereka kental, tapi kami juga akan membuat perkara sama untuk layak ke peringkat seterusnya.”