Bola sepak Asia tak sekeras bola sepak di Eropah – Michael Udebuluzor

219

Pemain kebangsaan Hong Kong, Michael Udebuluzor mengakui terdapat perbezaan kualiti bola sepak di Asia dan Eropah.

Menurut Udebuluzor, beliau yang kini beraksi di Jerman bersama pasukan FC Ingolstadt 04 di 3.Liga mengakui bola sepak di Eropah lebih fizikal berbanding Asia.


“Bola sepak di Eropah lebih fizikal yang mana di padang latihan sahaja kesemua pemain akan berikan aksi terbaik dan sedia untuk ‘bunuh anda’ dan kritik anda, manakala di Asia pula semuanya baik-baik sahaja.

Di sana, walaupun akan turun berlatih bersama rakan sepasukan tetapi apabila turun padang untuk berlatih, anda bukan lagi rakan baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Udebuluzor merupakan pemain termuda dalam skuad kebangsaan Hong Kong iaitu baru sahaja berusia 19 tahun telah mendapat kepercayaan daripada ketua jurulatih Jorn Andersen untuk beraksi di pentas Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung di Doha, Qatar ketika ini.

“Saya teruja dapat beraksi dalam Piala Asia kerana ia adalah kejohanan terbesar di Asia dan gembira dapat bermain untuk negara sendiri.”

Dalam pada itu, Hong Kong yang sudah tewas dalam dua perlawanan peringkat kumpulan masih lagi berpeluang untuk mara ke pusingan 16 sekiranya dapat menewaskan Palestine pada perlawanan terakhir kumpulan 23 Januari ini.

“Palestine bukan pasukan yang mudah tapi kami tahu apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan tiga mata penuh.”