Kedudukan FIFA pantas menurun, apakah nasib Malaysia selepas pertembungan bersama Korea Selatan?

203

Menurut kemaskini akaun @FootyRankings di aplikasi X kelmarin, kedudukan FIFA Malaysia kini telahpun jatuh enam anak tangga sejak bermulanya kejohanan Piala Asia 2023.

Malaysia yang sebelum ini cemerlang mengukuhkan kedudukan di carta tersebut nampaknya telah kembali ke anggaran kedudukan asal, yang kini di nombor ke-136.


Bagaimana begitu drastik pasukan negara seakan ‘tergolek’ dari pendakian sengit ke nombor 130 dunia sebelum ini?

Bermacam rintangan (perlawanan dan kejohanan) telah diharungi, termasuklah kejohanan kelayakan Piala Dunia 2026 yang dimana skuad negara mempamerkan persembahan terbaik di setiap penampilannya.

Mengenangkan ia kembali, Malaysia memperoleh keputusan 4-3 menewaskan pasukan Kyrgyzstan November lalu yang turut menyaksikan comeback hebat dari bintang-bintang bola sepak kebangsaan di separuh masa kedua.

Tidak lama kemudian, Malaysia bertemu pasukan Chinese Taipei dan mengalahkan mereka dengan keputusan 1-0 di gelanggang pihak lawan.

Berbagai lagi perlawanan yang telah Harimau Malaya tempuh dan ‘cakar’ sehingga berjaya selesa di kedudukan itu hasil didikan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

Namun kini, siapa sangka Piala Asia 2023 hanya menyajikan kekecewaan buat penyokong tegar sukan ini buat negara kita, lebih-lebih lagi yang baru sahaja kembali ‘menjejakkan kaki’ secara merit ke dalam pentas Asia ini.

Perlawanan bersama Jordan telah meletakkan Malaysia di tempat 132, manakala selepas perlawanan menentang Bahrain Sabtu lalu, Harimau Malaya telahpun jatuh empat lagi anak tangga.

Apakah nasib Malaysia selepas pertembungan bersama Korea Selatan Khamis ini?

Melihatkan belum ada satu mata yang berjaya Malaysia kumpulkan setakat ini, ianya seakan diambang bahaya buat pasukan negara.

Skuad Harimau Malaya perlu segera mengukuhkan keadaan dan memperbaiki semula kedudukan FIFA tersebut.

Mungkin ianya mampu dilaksana di kejohanan pusingan kelayakan Piala Dunia yang akan bersambung Mac akan datang.