Vietnam tak akan guna pemain naturalisasi – Duong Nghiep Khoi
Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Duong Nghiep Khoi menegaskan bahawa mereka tidak akan menggunakan pemain naturalisasi dalam pasukan kebangsaan mereka, sebaliknya hanya akan menggunakan pemain berdarah campuran.
Duong Nghiep Khoi bagaimanapun berkata tidak semua pemain berdarah campuran boleh menyarung jersi kebangsaan negara itu kerana mereka perlu menepati kriteria yang telah ditetapkan.
“Dari pihak VFF, kami hanya akan menggunakan pemain berdarah campuran sahaja dengan syarat datuk nenek atau ibu bapa orang Vietnam sahaja.
Tidak hanya itu, pemain-pemain tersebut juga perlu menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak kami,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau pada masa tidak mahu mengulas lanjut mengenai negara-negara yang cenderung memilih pemain naturalisasi kerana berkata setiap persatuan bola sepak mempunyai perancangan mereka tersendiri.
Dalam pada itu, bercakap mengenai prestasi pasukan Vietnam dalam kempen Piala Asia 2023 yang berlangsung di Doha, Qatar, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi dek kehilangan sembilan tonggak utama sebelum kejohanan bermula.
“Untuk kami, apabila kami kehilangan sembilan pemain tonggak utama dek kecederaan ia memberi kesukaran buat barisan kejurulatihan kerana pada mulanya sasaran kami adalah mahu layak ke suku akhir atau lebih baik.
Tapi denga napa yang terjadi ketika ini sesuatu yang kami tidak mahu. Ya, kami sudah tersingkir tapi kami sudah buat yang terbaik yang mana anda sendiri dapat melihat kesungguhan pemain dalam kejohanan kali ini.
Paling istimewa selepas perlawanan menentang Jepun dimana peminat berasa cukup gembira dengan prestasi kami.”
Vietnam yang menampilkan ramai pemain B-23 telah menjadi tumpuan ramai dalam perlawanan pertama apabila mereka berjaya mendahului Jepun sebanyak dua kali sebelum tewas 4-2 kepada gergasi Asia itu.
Pada 24 Januari ini mereka akan turun menentang Iraq pada perlawanan terakhir kumpulan yang mana mereka akan buat yang terbaik bagi memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.