Vietnam sasar ke Piala Dunia Wanita setiap edisi

49

Selain menjadi kuasa besar di Asia Tenggara (ASEAN) dalam bola sepak lelaki, bola sepak wanita Vietnam juga memperlihatkan peningkatan yang cukup positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kemuncak peningkatan bola sepak wanita di negara itu adalah pada tahun lalu apabila mereka berjaya layak ke Piala Dunia 2023 yang berlangsung di Australia dan New Zealand.


Biarpun tewas dalam ketiga-tiga perlawanan, namun ia memberi petunjuk bahawa Vietnam serius dengan bola sepak wanita.

Setiausaha Agung Vietnam Football Federation (VFF), Duong Nghiep Khoi berkata, pasukan kebangsaan wanita mereka layak ke pentas terbesar dunia itu merupakan satu kejayaan yang cukup besar buat mereka.

“Baru-baru ini kita mempunyai perubahan dalam barisan pemain generasi baru dalam pasukan kebangsaan wanita, jadi pemain generasi baru ini mempunyai kualiti dan apabila mereka berjaya layak ke Piala Dunia, ia satu kejayaan yang cukup membanggakan kami.

Kami juga mahu pastikan selepas ini pasukan wanita negara akan terus layak ke Piala Dunia setiap edisi yang akan datang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai kempen Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung di Qatar, beliau terpaksa akur apabila Vietnam tersingkir awal biarpun masih berbaki satu perlawanan dek dua kekalahan berturut-turut.

Beliau bagaimanapun bangga dengan persembahan pasukannya yang dibarisi oleh ramai pemain muda berjaya menjaringkan dua gol ketika menentang Jepun walaupun mereka tewas.

Pasukan Malaysia juga senasib dengan Vietnam apabila telah pun tersingkir selepas tewas dalam dua perlawanan tetapi Duong Nghiep Khoi berharap agar skuad Harimau Malaya dapat menjaringkan gol pada perlawanan terakhir menentang Korea Selatan nanti.

“Saya berharap agar pasukan Malaysia dapat jaringkan gol pada perlawanan menentang Korea Selatan. Sebagai contoh Vietnam berjaya menjaringkan dua gol ketika menentang Jepun.

Semua sedia maklum Jepun adalah pasukan terkuat di dunia, jadi saya berharap pasukan Malaysia juga dapat buat kejutan.”