Harimau Malaya perlu dapat sekurang-kurangnya 1 gol di pentas Asia – Lekir
Bola sepak dan penyokong berpisah tiada! Itulah yang boleh diperkatakan kepada Ultras Malaya (UM) yang merupakan Ekor Harimau Sejati yang sentiasa turun memberi sokongan buat skuad Harimau Malaya tidak kira dimana mereka beraksi.
Untuk kempen Piala Asia 2023 yang berlangsung di Doha, Qatar, UM terus menjadi tulang belakang pasukan kebangsaan walaupun skuad kendalian Kim Pan-gon tewas dalam dua perlawanan berturut-turut sekaligus menyebabkan mereka sudah tersingkir biarpun masih berbaki satu perlawanan.
Bagi Capo UM iaitu Lekir Hj Ahmad, beliau berharap agar pasukan kebangsaan tidak pulang ke tanah air dengan tangan kosong apabila bertemu gergasi Korea Selatan pada 25 Januari ini.
“Untuk perlawanan ketiga nanti saya rasa penyokong mengharapkan kita dapat bawa pulang satu mata atau sekurang-kurangnya satu gol di pentas Asia supaya dapat mengubat hati penyokong-penyokong yang sanggup berkorban untuk turun ke Doha,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Lekir yang terkenal dengan sikap lantangnya dengan prestasi pasukan kebangsaan mengakui skuad negara kali ini berkualiti, namun beberapa percaturan daripada ketua jurulatih Kim Pan-gon menjadi persoalan.
“Pandangan peribadi saya, kita mempunyai pasukan yang padu tapi positioning pemain untuk perlawanan pertama menentang Jordan dan penggantian pemain yang tidak sepatutnya bagi saya untuk perlawanan kedua.
Ini kerana saya rasa kedua-dua faktor ini boleh mengubah permainan kita sebenarnya tapi sebaliknya berlaku.”
Dalam pada itu, Lekir juga tidak menolak kemungkinan bahawa pemain-pemain negara berasa gerun apabila beraksi di pentas besar seperti di Piala Asia biarpun mempunyai tempoh yang lama untuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal.
“Asasnya adalah gemuruh. Walaupun mereka tahu sudah layak ke pentas besar Asia dari bulan Jun tahun lalu, mereka sepatutnya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.
Tetapi saya rasa pemain masih lagi gerun dengan pemain-pemain dari rantau Arab. Kalau tak gerun kita tidak akan mudah-mudah clear bola macam tu dan disebabkan itu juga kita kehilangan mata.”
Sementara itu, untuk kempen Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung pada April depan di Qatar juga, UM masih lagi belum mempunyai perancangan untuk sekali lagi turun, tetapi beliau yakin skuad Harimau Muda tidak akan bermain tanpa Ekor Harimau.
Lekir bagaimanapun menuntut pemain-pemain muda negara supaya dapat memberikan persembahan terbaik pada kejohanan itu nanti.