Kami mahu calarkan reputasi Korea Selatan – Safawi Rasid

138

Pemain sensasi pasukan kebangsaan, Safawi Rasid mengakui tugas besar menanti skuad negara tapi mereka bertekad mahu mencalarkan reputasi pasukan gergasi dunia Korea Selatan dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023.

Menurut Safawi, biarpun mereka sudah tersingkir dari kempen kali ini namun beliau dan rakan sepasukan tetap bersemangat kerana tidak mahu pulang ke tanah air dengan tangan kosong.


“Bagi saya kita ada 90 minit tapi kami cuba untuk calarkan reputasi mereka. Akan akan cuba insyaAllah kerana itu adalah sasaran kami demi maruah negara Malaysia.

Oleh itu kita mahu bawa pulang sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan itu nanti,”

katanya.

Skuad Harimau Malaya yang tewas dalam dua perlawanan menentang Jordan dan Bahrain secara sah tersingkir dan akan turun beraksi dalam perlawanan terakhir pada 25 Januari ini.

Dalam pada itu, Safawi juga mengakui kehebatan yang ada pada bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min tapi dengan pengalaman beliau yang pernah bermain dengan pemain itu berkata mereka sudah ada untuk menyekat pemain itu.

“Semua orang tahu Son merupakan pemain berkelas dunia tapi saya sudah bercakap dengan rakan sepasukan mengenai Son kerana saya tahu kemampuan beliau. Situasi satu lawan satu mungkin Son boleh lepas, tapi jika dua lawan satu atau tiga lawan satu pastinya sukar kerana beliau juga manusia biasa.”

Safawi merupakan salah seorang pemain dalam skuad B-23 negara yang pernah menewaskan skuad B-23 Korea Selatan yang ketika itu turut dibarisi oleh Son dalam kejohanan Piala Asia B-23 2018.

Sementara itu, beliau berkata walaupun mereka tidak berasa tekanan untuk perlawanan terakhir, namun mereka tetap bersemangat dan akan bekerja keras bagi memastikan setiap pemain dapat menterjemahkan taktikal dan perancangan yang telah ditetapkan oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon.