KPG jadikan perlawanan menentang Korea Selatan sebagai persiapan untuk kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon akan menjadikan perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan sebagai cabaran dan persiapan untuk kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Pan-gon berkata demikian selepas skuad Harimau Malaya tersingkir dari kejohanan selepas dua kekalahan berturut-turut kepada Jordan dan Bahrain baru-baru ini.
“Ya selepas dua perlawanan kita sah tidak layak. Perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang gergasi Korea Selatan kami akan buat yang terbaik untuk memotivasikan pemain untuk perlawanan itu.
Ia adalah cabaran yang cukup positif kerana kmai tidak akan rugi apa-apa dalam perlawanan itu, sebaliknya ia akan dijadikan sebagai persiapan kami yang akan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti.
Ini kerana sekiranya kami berjaya layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, kami akan bertemu juga dengan pasukan gergasi seperti Iran dan Korea Selatan, jadi kami akan jadikan perlawanan menentang Korea esok sebagai pengalaman,”
katanya.
Beliau juga tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol untuk dibawa pulang ke tanah air kerana baginya gol tersebut tidak akan memberi sebarang makna.
Dalam pada itu, pengendali dari Korea Selatan itu turut memberitahu pemain tengah Endrick Dos Santos akan diturunkan pada perlawanan esok tetapi tidak akan diturunkan untuk tempoh penuh.
“Ya selepas dua perlawanan ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan tak cergas tapi Endrick akan diturunkan esok tapi bukan untuk sepenuh masa.”
Sementara itu, Pan-gon juga menegaskan bahawa beliau tidak ambil pusing mengenai kritikan ramai terhadap prestasi skuad negara di kempen Piala Asia kali ini.
“Bagi saya untuk melihat Malaysia dapat beri cabaran di Piala Asia kita perlu layak ke Piala Asia setiap edisi terlebih dahulu dan jika kita mampu berbuat demikian baru kita boleh nak cabar ke pusingan 16.
Thailand sememangnya pasukan yang sering layak ke Piala Asia jadi tidak hairan jika mereka layak ke pusingan 16.”