Biarpun sudah tersingkir, Dion Cools dan rakan sepasukan tetap teruja dengan aksi menentang Korea Selatan

93

Pemain pertahanan sensasi kebangsaan, Dion Cools memberitahu bahawa beliau dan rakan sepasukan tetap teruja dengan aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Korea Selatan biarpun mereka sudah tersingkir dari Piala Asia 2023.

“Ya memang tak bagus apabila kita tidak layak ke peringkat seterusnya tapi untuk perlawanan esok kami sangat teruja kerana ia akan memberi pengalaman yang cukup baik untuk kami sebagai pemain,”

katanya.

Menurut Cools, beliau dan rakan sepasukan yakin dengan kemampuan pasukan dan akan bermain dengan corak permainan mereka iaitu cuba mendominasi pihak lawan.


“Kami sentiasa mahu dominasi pihak lawan. Ya ada kalanya pasukan lawan lebih baik dan kita perlu banyak bertahan, tapi pada masa sama kita juga perlu membuat serangan.

Banyak perkara positif dan negatif pada dua perlawanan sebelum ini, jadi kami akan cuba perbaiki kelemahan itu.”

Dalam pada itu, beliau turut mengakui kehebatan pasukan Korea Selatan yang mempunyai pemain-pemain yang cukup berkualiti.

“Kita tidak dapat nafikan mereka pemain yang cukup berkualiti, tapi apa yang penting bagi kami adalah untuk bertahan sebagai pasukan dan beri kawalan lebih kepada mereka.”

Beliau pada masa sama turut berkata biarpun mereka sudah tersingkir, namun beliau dan rakan sepasukan mahu membuktikan sesuatu pada perlawanan esok.