Brad Maloney harap Australia terus pamer aksi cemerlang untuk mara ke final Piala Asia 2023
Penolong jurulatih untuk pasukan kebangsaan Australia, Brad Maloney berharap agar pasukannya dapat mengekalkan prestasi cemerlang mereka untuk cuba mara sehingga ke perlawanan akhir Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung di Doha, Qatar.
Maloney yang juga merupakan ketua jurulatih untuk skuad B-17 negara itu berkata, untuk kempen Piala Asia beliau telah ditugaskan untuk urusan teknikal pasukan oleh ketua jurulatih Graham Arnold.
“Graham Arnold bawa saya masuk ke dalam pasukan sebagai sebahagian barisan staf teknikal dan juga penolong jurulatih jadi saya sentiasa bekerja dengan staf teknikal ketika latihan, membuat perancangan dan pada hari perlawanan membuat analisis pasukan dan pasukan lawan.
Kami sangat gembira apabila dapat menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai juara dan layak ke peringkat kalah mati yang mana ia merupakan sasaran pertama kami.
Ia merupakan persembahan yang baik dan kami berharap dapat terus pamer aksi cemerlang untuk cuba mara ke perlawanan akhir,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Australia yang bersaing dalam Kumpulan B telah mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan apabila mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan ke atas India dan Syria serta satu seri kepada Uzbekistan.
Dalam pada itu, Maloney yang berjaya membawa skuad B-17 Australia ke suku akhir Piala Asia B-17 tahun lalu kini dalam perancangan untuk mengadakan kem latihan di Eropah sebagai persedian untuk menghadapi kejohanan Piala AFF B-17 dan juga kelayakan Piala Asia B-17.
“Pelan jangka pendek saya adalah untuk membawa pasukan ke Eropah yang mana kami akan mengadakan kem latihan di Itali selama 12 hari untuk beberapa perlawanan persahabatan di sana.
Ia sebahagian daripada persedian pasukan untuk menghadapi kejohanan Piala AFF B-17 dan juga kelayakan Piala Asia B-17 nanti.”
Beliau pada masa sama turut tidak menolak kemungkinan akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Malaysia B-17 sekirannya ada peluang nanti.