Brad Maloney harap Malaysia dapat bangkit dalam aksi menentang Korea Selatan
Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia B-23, Brad Maloney berharap agar skuad Harimau Malaya dapat bangkit pada aksi terakhir peringkat kumpualan Piala Asia 2023 menentang Korea Selatan esok.
Menurut Maloney, beliau kecewa melihat kekalahan 4-0 kepada Jordan dan kekalahan 1-0 di saat-saat akhir kepada Bahrain.
“Saya sebenarnya menaruh harapan tinggi kepada skuad Malaysia selepas mendapat tahu barisan pemain yang diumumkan kerana bagi saya ini adalah skuad terbaik yang ditampilkan sejak sekian lama.
Sudah tentu saya kecewa dengan kekalahan pada perlawanan pertama kepada Jordan yang mana ia merupakan situasi yang cukup sukar kepada pasukan dan tidak bernasib baik ketika bertemu Bahrain,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Maloney bagaimanapun tidak menolak kemungkinan skuad negara mampu mengulangi sejarah pada tahun 2018 yang mana menyaksikan skuad B-23 yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee berjaya menumbangkan gergasi Korea Selatan 2-1.
“Sudah pastinya ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana Korea Selatan sebuah pasukan gergasi selain mempunyai ramai pemain bertaraf dunia tapi saya masih ingat pada tahun 2018 di mana ‘mastermind’ Datuk Ong Kim Swee berjaya menang dengan Korea Selatan pada Sukan Asia.
Saya yakin sekiranya mereka mempunyai perancangan rapi dan pendekatan yang mantap mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan.”
Dalam pada itu, beliau yang kini merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatih skuad Australia di Piala Asia 2023 dan juga ketua jurulatih skuad B-17 negara itu mengakui masih lagi berhubung dengan bekas-bekas pemainnya dalam skuad Harimau Muda.
“Ya saya masih berhubung dengan beberapa bekas pemain saya seperti Mukhairi Ajmal, Luqman Hakim dan beberapa lagi tetapi ia lebih kepada peribadi dan bukannya profesional.”
Sementara itu, beliau turut menggalakkan pemain-pemain muda Malaysia untuk berkelana bagi menimba pengalaman di liga luar negara yang mana ia dapat membantu meningkatkan kualiti mereka sekaligus dapat menyumbang kepada negara.