Kita perlu corak permainan lebih laju untuk bersaing di peringkat antarabangsa – Faisal Halim
Pemain sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim memberitahu mereka perlu tingkatkan lagi corak permainan mereka sekiranya mahu memberi cabaran di peringkat antarabangsa.
Faisal berkata demikian selepas membantu pasukan negara mengikat gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia 2023 petang tadi.
“Kita perlu corak permainan yang lebih laju macam di sini. Apabila kita bermain di peringkat antarabangsa semuanya laju dan cepat dengan pemain lawan datang beri tekanan tinggi dengan sekali datang tiga pemain dibelakang.
Tapi di liga kita tidak seperti itu kerana ia lebih perlahan dan tak banyak pasukan yang bermain dengan corak permainan intensiti tinggi kecuali Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC,”
katanya.
Beliau berkata bola sepak negara masih ketinggalan tapi turut mengakui sudah ada peningkatan positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Faisal turut berkongsi bahawa jaringan pertama beliau mengingatkannya kepada jaringan yang hampir sama pada tahun 2015 ketika beliau bermain untuk skuad Piala Belia Pulau Pinang.
“Kalau lihat pada gol itu saya teringat waktu saya main belia Pulau Pinang yang mana saya rasa ada satu gol yang hampir sama ketika menentang Perak tahun 2015.”
Sementara itu, selepas tersingkir dari kempen Piala Asia, fokus mereka selepas ini adalah kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027 pada bulan Mac depan.