Kemasukan pemain naturalisasi akhirnya ‘function’! Jaringan gol saat akhir bukti balas jasa buat skuad Harimau Malaya

95

Nampaknya kemasukan pemain naturalisasi, Romel Morales di separuh masa kedua tidaklah sia-sia.

Siapa sangka di saat penghujung minit tambahan beliau muncul menyamakan kedudukan 3-3 bersama Korea Selatan malam semalam?


Dipercayai ramai yang pada awalnya seakan mengeluh melihat kemasukan beliau di atas padang selepas aksinya yang menghampakan sewaktu perlawanan bersama pertama menentang Jordan minggu lalu.

Namun kini, ianya amat berbaloi.

Selama ini, semua mata tertumpu kepada bintang-bintang hebat seperti Faisal Halim dan Arif Aiman yang sudah dijangkakan akan menjaringkan gol.

Tetapi kecaman hangat mengenai Romel sebelum ini seolah-olah ‘dimaafkan’ setelah beliau dapat menghadiahkan gol terakhir perlawanan yang sememangnya sengit itu.

Beginilah cara untuk membalas jasa dan budi dipanggil sebagai pemain naturalisasi buat skuad kebangsaan!

Beliau berjaya mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap dirinya kerana terbukti, Romel juga mampu bersinar sekiranya diberikan ruang dan berkomunikasi dengan baik didalam pasukan.

Malaysia yang nyaris tewas kekurangan satu gol semasa minit tambahan, melihatkan ramai penyokong yang sudah hampir putus harapan dan rata-rata hanya mengharapkan tiupan wisel penamat dibunyikan.

Namun seluruh rakyat Malaysia bagai ‘hidup kembali’ setelah jaringan Romel di minit ke-90 +15 gagal diselamatkan penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon-woo.

Usaha beliau seharusnya dipuji atas kejayaan muncul ‘wira tak didendang’ pasukan negara kelmarin, sekaligus memberikan mata tunggal buat Malaysia di kejohanan itu.

Sebaiknya persembahan seperti ini patut dipamerkan dari kemunculan pertama Malaysia di Piala Asia edisi kali ini demi mengumpul seberapa banyak mata yang diingini.

Barangkali juga disebabkan pasukan negara seolah-olah ‘lambat panas’, hanya di perlawanan terakhir tibanya skuad Harimau Malaya yang semua kenali.

Ada baiknya sekiranya Malaysia dapat mengekalkan kondisi permainan seperti ini dengan memperbanyakkan lagi perlawanan persahabatan bersama negara-negara Asia yang lain, demi meneruskan kemajuan dan kecemerlangan skuad kebangsaan kita!