Kecundang ke pusingan 16 terbaik tetap tak patahkan semangat pemain ke-12 ‘turun padang’!

104

44 tahun tidak ke Piala Asia secara merit, edisi kali ini telah menyaksikan pelbagai emosi bercampur baur di atas mahupun di luar padang.

Perasaan kecewa dan marah saling berkait dengan ‘perhatian tanpa henti’ para penyokong demi melihat kejayaan skuad negara di pentas Asia.


Dari melihatkan permulaan menghampakan mereka sejak pertemuan pertama menentang Jordan yang ‘menampar’ Malaysia kembali ke realiti 0-4, selepas itu bersama jaringan gol minit akhir Bahrain 1-0.

Meskipun seluruh rakyat Malaysia sudah menerima kenyataan bahawa skuad negara gagal meloloskan diri ke pusingan 16 terbaik, namun ianya tetap tidak menghentikan langkah mereka.

Penyokong tegar bola sepak tanah air yang sentiasa mengekori gerak geri bintang-bintang Harimau Malaya nampaknya tidak lekang memberikan sokongan yang penghabisan buat pasukan negara.

Pada awalnya, disangkakan ianya tidak akan menjadi perlawanan yang dinanti-nantikan lagi selepas Malaysia secara amnya telahpun tersingkir awal atas gagal mengejar carta dua terbaik peringkat kumpulan E.

Namun banyak ‘hot spot’ di Ibu Kota kelmarin yang dibanjiri Ekor Harimau Malaya yang masih kekal bersemangat menyarung jersi kebangsaan, mengibarkan Jalur Gemilang, bersorak diiringi harapan melihat gol sulung negara di Piala Asia 2023.

Tiga lokasi utama tayangan skrin besar di Lembah Klang iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Dataran Putrajaya kekal menerima lebih ramai kunjungan penyokong selain penganjur menyajikan aktiviti keluarga seperti hadiah cabutan bertuah dan sepakan penaliti buat kanak-kanak.

Cuti umum perayaan Thaipusam nampaknya telah dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat Malaysia pada tahun ini.

Dari hampir menerima nasib pulang ‘kempunan’ tanpa sebarang jaringan gol, Harimau Malaya ternyata bangkit ‘mengaum’ dan mengikat Korea Selatan dengan kedudukan seri tiga sama.

Terbukti skuad kebangsaan sememangnya layak ‘menapak tempat’ di Piala Asia akan datang jika terus memberikan persembahan terbaik seperti kelmarin.