Tambah jumlah perlawanan liga utama, apa kebaikannya?
Liga Perdana Singapura bakal menyajikan 28 perlawanan bagi setiap pasukan yang bertanding dengan empat kali pertembungan sesama sendiri berbanding hanya tiga perlawanan sebelum ini.
Apakah kebaikan menambah jumlah perlawanan ini kepada Liga Singapura yang hanya disertai lapan pasukan itu?
Apabila perlawanan ditambah, jumlah bilangan pemain yang dibenarkan untuk mendaftar juga ditambah kepada 20 orang pemain berbanding sebelum ini hanya 17 pemain, membuka peluang kepada lebih ramai pemain beraksi di liga utama negara itu. Sembilan pemain yang dibenarkan berada di bangku simpanan dan sebanyak lima pertukaran bagi setiap perlawanan.
Penambahan jumlah perlawanan ini dilihat akan memperbaiki tahap pertandingan menjadi lebih kompetitif dan menarik. Pertemuan sebanyak empat kali membolehkan setiap pasukan memberi saingan sengit dan minit perlawanan yang lebih panjang untuk memastikan pemain kekal cergas kerana liga hanya akan berakhir pada Oktober nanti.
Liga Perdana Singapura disertai lapan pasukan termasuk kelab jemputan dari Jepun, Albirex Niigata.
Musim lalu, Lions City Sailors mengungguli carta diikuti Albirex Niigata dan Hougang. Pembukaan liga musim ini akan bermula pada 19 Februari nanti dengan perlawanan pertembungan kedua pasukan tersebut.
Cadangan untuk menambah jumlah perlawanan ataupun jumlah pasukan di Liga Super telah lama dibincangkan peminat bolasepak Malaysia, tetapi nampaknya badan induk bolasepak negara seberang tambak itu lebih pantas merealisasikan perkara tersebut.
Jejak langkah Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) wajar diikuti jika menunjukkan hasil positif.