Dato’ Seri Anwar Ibrahim sahkan FAM bakal terima peruntukkan RM5 juta segera

117

Hasil dari semangat juang skuad Harimau Malaya menentang pasukan Korea Selatan malam semalam, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bantuan sejumlah RM5 juta akan diperuntukkan khas buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Perlawanan yang menyaksikan keputusan seri tiga sama diantara dua pasukan yang memiliki jurang lebih 100 di kedudukan FIFA itu mendapat perhatian beliau yang merasakan ianya suatu pertarungan yang hebat.


“Keupayaan, kesungguhan, semangat mereka tidak gentar.”

“Walaupun setelah kalah dalam dua pertarungan, tapi menunjukkan suatu perlawanan yang sangat menakjubkan dan hebat bertarung dengan pasukan yang kuat, Korea Selatan.”

Katanya ketika ditemui di Restoran Pelita, Jalan Ampang hari ini.

Beliau menzahirkan ucapan tahniah buat pasukan negara sekaligus mengumumkan lulusnya dana tersebut hasil pertimbangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini.

“Pihak kerajaan telah bersetuju meluluskan tambahan RM5 juta kepada FAM supaya dapat mengurus pasukan bola sepak dan meningkatkan keupayaan mereka.”

Perdana Menteri ke-10 itu turut menambah bahawa ianya akan diagihkan segera demi kemajuan bola sepak negara di masa akan datang.

Perlawanan ‘pelengkap’ Korea Selatan menentang Malaysia pada malam Khamis telah memperlihatkan skuad kebangsaan berjaya mengikat keputusan 3-3 sekaligus menghadiahkan mata tunggal buat negara di kejohanan Piala Asia 2023.