‘Referee Kampung’ umumkan MVP perlawanan semalam jatuh kepada Syihan Hazmi dan Daniel Ting
“Dua pemain yang memukau mata dan jiwa saya adalah goalkeeper kita, Syihan Hazmi dan juga Daniel Ting.”
Itu pilihan ‘Referee Kampung’ atau nama sebenar beliau, Naseeb Ali pabila ditanyakan mengenai seleksi Most Valueable Player (MVP) bagi perlawanan Korea Selatan menentang Malaysia malam semalam.
Meskipun tidak menidakkan kecemerlangan setiap pemain, beliau memuji save berulang kali yang dilakukan Syihan dan kecekapan Daniel dalam mengawal gerak geri bintang utama pihak lawan, Son Heung-min.
Naseeb merasakan gandingan Stuart Wilkin, Brendan Gan dan Syameer Kutty di bahagian midfield adalah susunan yang terbaik di perlawanan yang berjaya mengikat pihak lawan 3-3 itu dan harus dikekalkan untuk perlawanan-perlawanan akan datang.
“Bagi saya, pemain kita perlu sentiasa percaya dan berani menterjemah taktikal yang diarahkan Kim Pan-gon.”
Katanya didalam suatu temubual eksklusif bersama Harimau Malaya hari ini.
Beliau turut memuji keberanian jurulatih yang berasal dari Korea Selatan itu dalam soal formasi dan experiment pasukan.
“Pan-gon berani merancang. Bila dia berani, pasti akan adanya risiko. Kadang mengena kadang tidak.”
Dirinya berpendapat bahawa bermain di bawah tekanan hanya akan merosakkan mood pemain, sebaliknya harus mempunyai semangat yang jitu untuk ke peringkat lebih tinggi.
“Experiment kita tidak boleh hentikan, tidak boleh selesa juga. Ada experiment tentunya ada semangat.”
“Contohnya, Stuart Wilkin dan Dominic Tan membuktikan bahawa mereka layak beraksi dengan baik di posisi masing-masing.”
Disoal tentang reaksi sebahagian penyokong yang menginginkan penukaran jurulatih kebangsaan yang baharu, Naseeb menjawab bahawa rakyat Malaysia seharusnya berterima kasih kepada Kim Pan-gon.
“Bukan sekadar ilmu, beliau telah memberikan segala-galanya. Beliau amat bertanggungjawab dan berani sehingga sanggup dipersalahkan. Beliau memiliki identiti tersendiri.”
“Tolong berikan kepercayaan, sokongan dan masa buat Pan-gon. Saya percaya dalam tempoh yang akan datang Malaysia mampu pergi lebih jauh.”
Menurutnya perlawanan semalam bagaikan suatu misi mustahil buat pasukan negara jika diikutkan logik.
“Dapat gol pun dah kira keajaiban, tapi ni kita dapat tiga gol!”
Baginya persembahan di separuh masa pertama yang menyaksikan Korea Selatan mendahului 1-0 adalah ‘aksi sebenar’ perlawanan itu, namun beliau mempercayai Pan-gon tentu telah memberikan suntikan motivasi di bilik persalinan ketika waktu rehat separuh masa.
Referee itu juga mendambakan pendedahan corak permainan yang meluas buat pasukan negara demi setanding dengan pemain di rantau Asia.
“Kita kena faham tahap liga kita dimana.”
“Sebaiknya kita kena ada ramai lagi pemain kita yang bermain di liga luar negara, demi membawa masuk ilmu ke Malaysia.”
Beliau merasakan ianya bukan suatu pilihan untuk tidak menyokong pasukan kebangsaan kerana baginya seluruh penyokong tegar bola sepak tanah air adalah suatu keluarga yang besar.
Beliau berharap semoga perlawanan yang cukup membanggakan itu mampu menjadi suatu turning point buat pasukan kebangsaan untuk kekal maju di Piala Asia hingga ke Piala Dunia suatu masa kelak.