Bila kita menang dalam 2 tahun ini tak ada pula cakap ada ‘tangan ghaib’ – Hamidin
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan terdapat campur tangan daripada pihak lain ‘tangan ghaib’ dalam urusan pemilihan pemain oleh ketua jurulatih negara Kim Pan-gon.
Menurut Hamidin, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Pan-gon dan barisan kejurulatihannya untuk membuat pemilihan pemain.
“Isu tangan ghaib ini sudah lama kedengaran jadi saya nak jelaskan di sini adalah Kim Pan-gon membuat ‘lineup’ selepas berbincang dengan barisan kejurulatihannya dan hanya dimuktamadkan dengan saya sebagai presiden, yang lain tidak masuk campur.
Anda sendiri boleh tanya beliau samada saya ganggu atau tidak. Dua tahun kita menang tiada pula peminat cakap tangan ghaib, tapi bila kalah isu ini timbul,”
katanya.
Jelasnya lagi, sebagai presiden badan induk bola sepak negara beliau telah memastikan memberi ruang seluas-luasnya kepada Pan-gon untuk lakukan apa yang dimahukan demi menaikkan bola sepak tanah air.
Dalam pada itu, Hamidin turut berkata apa yang berlaku dalam kempen Piala Asia 2023 di Doha, Qatar yang menyaksikan skuad Harimau Malaya tewas dalam dua perlawanan dan seri satu perlawanan adalah lumrah bola sepak.
Malah beliau juga mendedahkan bahawa pengendali dari Korea Selatan itu juga pernah memberitahunya supaya bersedia untuk kejatuhan skuad negara kerana mereka naik dengan mendadak iaitu dari ranking 154 dunia kepada 130 dunia dalam tempoh dua tahun sahaja.
“Pan-gon pernah beritahu saya untuk bersedia skuad negara akan ‘jatuh’ satu hari nanti kerana kita naik dengan drastik.
Dalam bola sepak kita tak akan boleh menang saja sepanjang masa. Tapi apa yang penting sekarang ini adalah kita perlu bangkit semula kerana kekalahan akan memberi kita pengalaman untuk bangkit dengan lebih baik lagi.”
Biarpun pun tersingkir awal dari kempen Piala Asia, skuad negara telah memberikan ‘hadiah’ yang cukup bermakna buat peminat negara apabila menutup kempen mereka dengan cukup cemerlang apabila berjaya mengikat gergasi Kroea Selatan 3-3 pada 25 Januari lalu sekaligus menyaksikan skuad negara pulang dengan satu mata dan tiga gol.
Keputusan tersebut mendapat liputan meluas daripada media antarabangsa kerana semua sedia maklum pasukan Korea Selatan berada di kedudukan ranking 23 dunia dan juga pasukan Piala Dunia.
Sementara itu, fokus skuad negara kini adalah untuk kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan bersambung pada bulan Mac depan.