Sasaran kita mahu skuad Harimau Muda mara ke separuh akhir Piala Asia B-23 – Hamidin

110

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu bahawa pasukan kebangsaan B-23 akan melakukan persiapan rapi sebelum mereka memulakan kempen Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada April depan.

Menurut Hamidin, kempen Piala Asia juga merupakan kelayakan ke Sukan Olimpik oleh itu FAM meletak harapan untuk skuad Harimau Muda untuk mara ke peringkat separuh akhir.


“Kalau kita lihat kempen Piala Asia B-23 ini adalah kelayakan ke Sukan Olimpik. Kita dalam 16 pasukan terbaik layak dan persiapan kita akan bermula dari bulan Februari dan Mac ini sebelum kita datang ke Doha pada awal untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.

Melihat kepada kelayakan untuk kita masuk, hanya empat pasukan boleh layak ke Olimpik. 3 pasukan secara automatik dan 1 pasukan perlu bermain play-off, jadi kita perlu berada di kedudukan top 2 untuk mara ke suku akhir lepas tu masuk separuh akhir.

Harapan kita kalau boleh kita nak masuk separuh akhir tapi sebelum tu kita perlu mara ke suku akhir terlebih dahulu,”

katanya.

Bagi memastikan skuad negara berada dalam keadaan terbaik sebelum kejohanan, Hamidin berkata beliau telah berbincang dengan ketua jurulatih, Juan Torres Garrido mengenai perancangan persiapan.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Juan Torres di Doha sebelum ini yang mana kita akan masukkan pasukan ini untuk kejohanan empat penjuru di Indonesia dan datang ke Doha lebih awal untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dan latihan kerana itu mustahak.”

Untuk kempen kali ini, skuad negara telah diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.

Piala Asia B-23 akan membuka tirai dari 15 April hingga 3 Mei 2024.