Kami sudah buktikan yang Australia adalah salah sebuah pasukan terbaik di Asia – Craig Goodwin
Penyerang sensasi pasukan kebangsaan Australia, Craig Goodwin mereka sudah membuktikan bahawa pasukan mereka adalah salah sebuah pasukan terbaik di Asia sejak 18 bulan yang lalu.
Goodwin berkata demikian berikutan mereka kini menjadi pasukan pilihan untuk kejohanan Piala Asia 2023 selepas mereka berjaya layak ke pusingan 16 yang mana mereka akan bertemu Indonesia esok.
“Kami mempunyai mentaliti dan etika kerja tinggi. Dengan menjadi pasukan pilihan ia menjadikan situasi kami lebih sukar kerana semua mahu permainan sama standard seperti kami.
Australia sudah tunjukkan sejak 18 bulan lalu yang kami adalah salah sebuah pasukan terbaik di Asia.
Bagaimanapun kami tidak boleh pandang rendah dengan pasukan lawan terutamanya Indonesia kerana mereka juga mempunyai pemain-pemain berkualiti, jadi kita perlu tampilkan aksi permainan terbaik kami,”
katanya.
Biarpun sedar dengan peningkatan drastik Indonesia, beliau berkata pasukannya akan melakukan persiapan sama seperti ketika bertemu pasukan lain.
Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad Socceroos iaitu Graham Arnold tidak melihat status sebagai pasukan ‘besar’ dalam kejohanan ini memberikan mereka kelebihan, sebaliknya mereka perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka.
“Apabila anda menyarung jersi kebangsaan dan bermain untuk negara, anda perlu berikan yang terbaik tidak kira dengan pasukan mana yang anda akan menentang dengan keutamaan untuk membanggakan negara.”
Pertembungan di antara Australia dan Indonesia ini boleh disifatkan sebagai pertembungan ‘David versus Goliath’.
Jika untuk aksi Piala Asia mereka merupakan pasukan ‘Goliath’, namun pada Piala Dunia 2022 tahun lalu Australia pernah menjadi sebaliknya apabila mereka bertemu gergasi Argentina dalam aksi pusingan 16.