Ariq Darius mahu kekal di Qatar kerana peluang lebih banyak berbanding di Malaysia

235

Pemain bola sepak negara, Muhammad Ariq Darius memberitahu beliau mahu terus kekal bermain bola sepak di Qatar bersama Akademi Al Rayyan sehingga menjadi profesional.

Ini kerana menurut Ariq, peluang di sana lebih banyak berbanding di Malaysia.


“Saya mahu kekal di sini kerana peluang lebih banyak dari Malaysia. Kalau boleh saya mahu teruskan karier bola sepak saya di sini terlebih dahulu dan jika ada rezeki dipanggil untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan, insyaAllah saya akan pergi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ariq telah menandatangani kontrak bersama Al Rayyan pada tahun lalu selepas akademi tersebut melihat potensi besar yang ada pada beliau selepas pemain itu hadir pada sesi percubaan yang dilakukan akademi tersebut.

Beliau turut berkongsi perbezaan liga pembangunan di sana dan juga di Malaysia yang mana beliau memulakan karier bola sepaknya di salah sebuah akademi bola sepak di Melaka di mana katanya saingan di Timur Tengah lebih kompetitif dan fizikal.

“Saya mula bermain di akademi di Melaka pada usia lapan tahun sebelum berhijrah ke sini. Apa yang saya boleh katakan saingan di sini lebih kompetitif dan fizikal, tapi lama kelamaan saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan di sini.”

Dalam pada itu, bapa kepada Ariq iaitu Mohd Fharied Abdullah sentiasa memberi sokongan penuh pilihan anaknya itu untuk menjadikan bola sepak sebagai karier.

“Selepas berpindah ke sini, Ariq beritahu yang beliau mahu menyambung bermain bola sepak di sini dan menariknya beliau cari sendiri akademi sebelum beritahu saya dan pergi ke sesi percubaan sebelum diberi kontrak.

Apa yang diceburi oleh Ariq ini sememangnya mendapat sokongan daripada saya dan isteri kerana sukan dapat memberikan kehidupan yang lebih baik dan berdisiplin.”

Selain mahu anaknya menjadi yang terbaik dalam sukan bola sepak, beliau turut menitik beratkan soal pelajaran yang mana Ariq juga perlu cemerlang dalam pelajaran.

Sementara itu, beliau tidak akan menghalang anaknya untuk pulang ke tanah air sekiranya mendapat tawaran daripada kelab di Malaysia satu hari ini.

“Saya selalu menyokong dengan keputusan yang beliau buat. Apa yang beliau rasa betul untuk dirinya dan untuk melebarkan lagi kariernya saya akan menyokong.”