Bola sepak di Eropah adalah gaya hidup, sangat berbeza dengan bola sepak di Asia – Adel Aouadi

368

Ketua jurulatih untuk Akademi Al Rayyan, Adel Aouadi mendedahkan terdapat perbezaan ketara antara bola sepak di Asia dan Eropah.

Menurut Aouadi yang pernah bermain di 2.Bundesliga, pemain bola sepak di Eropah menjadikan sukan itu sebagai gaya hidup mereka, manakala pemain bola sepak di Asia pula tidak berbuat demikian.


“Perbezaan bola sepak antara Asia dan Eropah adalah pemain di Eropah menjadi bola sepak sebahagian daripada gaya hidup mereka kerana bola sepak tidak hanya tertumpu kepada sesi latihan sahaja, sebaliknya ketika di rumah juga yang mana mereka menjaga tubuh badan, jaga makanan dan jaga waktu tidur.

Manakala pemain di Asia pula mereka tidak peduli dengan waktu tidur, mereka tidak jaga pemakanan mereka dan sering mengabaikan waktu tidur dan ini menjadi perbezaan yang cukup ketara di antara bola sepak di Asia dan Eropah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Aouadi yang pernah melatih skuad B-15 di sebuah kelab di Jerman telah mengambil keputusan untuk berhijrah dan kini sudah lebih 11 di Doha, Qatar mengendalikan Akademi Al Rayyan.

Dalam pada itu, beliau turut memuji anak didiknya yang berasal dari Malaysia iaitu Ariq Darius yang disifatkan mempunyai pemahaman tinggi dalam bola sepak.

“Ariq mempunyai pemahaman dalam bola sepak dengan cukup baik sekali dan saya yakin dengan kerja keras dan latihan khas untuknya, beliau mempunyai potensi besar untuk ke peringkat tertinggi.”

Tambahnya lagi, Ariq seorang pemain bola sepak bijak apabila beraksi di atas padang dan perkara ini penting dalam dunia bola sepak moden.