Kalau kami tak bolos gol pertama, pastinya perlawanan akan menjadi berbeza – Shin Tae-yong

99

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong memuji aksi yang dipamerkan oleh pasukannya biarpun mereka tewas 4-0 kepada Australia dalam perlawanan pusingan 16 Piala Asia 2023 petang tadi.

Menurut Tae-yong, pemainnya bermain dengan baik sekali dan sekiranya mereka tidak bolos gol pertama pastinya perlawanan akan menjadi berbeza.


“Pertama tahniah kepada Australia. Banyak yang kami belajar daripada pasukan mereka hari ini. Sejujurnya saya sudah melihat perlawanan tadi dan apa yang saya boleh katakan ia adalah perlawanan terbaik kami.

Jika bukan kerana gol biasan itu, pastinya perlawanan akan berbeza dan sebaliknya,”

katanya.

Tambahnya lagi, setiap pemain telah berjaya bermain mengikut arahan dan taktikal yang diterapkannya sepanjang tempoh perlawanan tetapi perbezaan kualiti dan pengalaman menjadi faktor utama kekalahan mereka.

“Kesemua pemain mengikut arahan saya dengan baik sekali tetapi kami kalah kerana perbezaan ‘level’ dan pengalaman. Satu hari nanti kami akan bermain sama ‘level’ seperti Australia.”

Dalam pada itu, pengendali dari Korea Selatan itu turut mempertahankan taktikal yang diterapkan dalam aksi tadi apabila mengarahkan pasukan bermain di garisan tinggi dan sentiasa memberi tekanan.

“Kami bermain bola sepak untuk menang jadi berdasarkan analisis yang saya buat kita tidak boleh main secara bertahan.

Kita perlu bermain di garisan tinggi untuk cuba mencipta peluang untuk jaringkan gol tapi kami gagal memanfaat peluang yang ada.”

Sementara itu, Tae-yong turut mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya sepanjang mengemudi skuad Garuda.

“Sasaran kami seterusnya adalah mahu melangkah ke peringkat lebih tinggi lagi dalam kelayakan Piala Dunia. Dua perlawanan awal kami hanya satu seri dan satu kalah.

Jadi bulan Mac ini kami mahu pastikan dapat keputusan positif untuk melangkah ke pusingan ketiga kelayakan.”