Kami sedia jumpa Korea Selatan mahu pun Arab Saudi – Graham Arnold

66

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Australia, Graham Arnold memberitahu bahawa pasukannya tidak gentar dan bersedia bertemu Korea Selatan atau pun Arab Saudi pada aksi suku akhir Piala Asia 2023 nanti.

Arnold berkata demikian selepas pasukannya dengan mudah menewaskan Indonesia 4-0 dalam perlawanan pusingan 16 yang berlangsung petang tadi.


“Kredit kepada pasukan Indonesia kerana mereka memberi cabaran dan menyukarkan kami sepanjang tempoh perlawanan tadi.

Pemain juga sudah bersiap sedia kerana saya sudah memberitahu kepada pemain supaya lebih bersedia kerana perlawanan akan menjadi lebih fizikal, dan menerusi kombinasi serangan, kami berjaya menjaringkan gol dan menang.

Kami tiada masa untuk lawan mana-mana pasukan di suku akhir nanti samada Korea Selatan mahu pun Arab Saudi kerana apa yang penting adalah kami fokus pada pasukan kami sendiri sahaja,”

katanya.

Dalam pada itu, Arnold berkata peningkatan yang dipamerkan oleh anak buahnya pada perlawanan tadi adalah kerana pemain lebih tenang dan yakin dengan diri sendiri.

“Saya rasa pemain menunjukkan peningkatan individu yang mana mereka bermain dengan lebih yakin sekaligus mereka bermain dengan bebas dan pamer imaginasi mereka di atas padang.”

Sementara itu, bagi Pemain Terbaik pada perlawanan tadi iaitu Martin Boyle, beliau dan rakan sepasukan cukup gembira dengan kemenangan ini dan apa yang penting mereka berjaya memastikan tidak bolos.

“Kami gembira dengan kemenangan ini kerana ia akan memberi keyakinan kepada kami untuk perlawanan seterusnya.

Senjata utama kami adalah menerusi ‘set pieces’ dan hantaran silang kerana kami mempunyai pemain-pemain tinggi yang mana ia berjaya diterjemahkan menerusi empat gol hari ini. Selain itu, apa yang lebih penting adalah ‘clean sheet’ dalam setiap perlawanan.”