Tak sempat ganti rumput, Selangor FC lebih utamakan sistem saliran di Stadium MBPJ
Melihatkan kesuntukan masa bagi menukar rumput padang yang baharu di Stadium MBPJ, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon sahkan bahawa pihaknya lebih memilih untuk memberi tumpuan terhadap sistem saliran stadium tersebut.
Baginya, ia lebih merisaukan apabila sistem saliran tidak berada didalam keadaan yang baik kerana ianya akan mengakibatkan padang yang lembab sekaligus memberikan risiko yang teruk terhadap pemain.
“Sekarang kita di bulan satu, proses penukaran rumput akan mengambil masa selama enam hingga lapan bulan, sepertinya tak sempat.”
“Sekiranya saliran baik, air akan turun dengan cepat, padang tidak akan menjadi lecak. Apabila padang dalam keadaan baik, ianya dapat mengurangkan risiko kecederaan.”
Jawabnya.
Katanya pihak Selangor FC telah meneliti sepenuhnya tawaran yang telah diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu sebelum membuatkan keputusan.
Beliau juga berkata bahawa sesi pengubahsuaian stadium tersebut ketika ini dijangka akan siap sepenuhnya menjelang April kelak.
“Kerusi tempat duduk penonton telah dibaiki, begitu juga sistem suara dan pencahayaan, bilik-bilik VIP dan banyak lagi.”
Baginya aktiviti pengubahsuaian didalam stadium itu telahpun berjalan sejak beberapa tahun lalu, hanya kini memerlukan penambahbaikan demi menepati ciri-ciri utama sebagai stadium yang akan digunapakai untuk kejohanan sebesar AFC Champions League (ACL2).
Mewakili pasukan The Red Giants, beliau turut berbesar hati dapat bergandingan lebih erat bersama pihak MBPJ setelah pengasingan pasukan PDRM FC dari stadium itu ke Stadium Selayang sebagai ‘rumah’ pasukan.
Beliau menambah bahawa bajet bagi kelab itu juga mempunyai kenaikan sebanyak 30 peratus disebabkan lebihan lima bulan didalam musim 2024/2025 akan datang.
Selain itu, Dr Johan akui akan adanya pengumuman mengenai pengekalan, kemasukan dan pengeluaran skuad The Red Giants dua minggu dari sekarang.
“Ada player akan kita loan keluar untuk beri mereka exposure dan peluang untuk develop terutamanya pemain muda.”
“Tak banyak rombakan memandangkan kami sudah memenangi 20 perlawanan didalam Liga Super musim lalu, kami ingin mengekalkan rekod itu dengan kebanyakan pemain-pemain yang sedia ada.”
Beliau juga tidak menafikan risikan kelab lain pada bintang tengah mereka, Brendan Gan.
“Saya percaya banyak kelab yang menginginkan Brendan Gan dengan prestasi beliau di Piala Asia 2023 baru-baru ini.”
“Kita masih tengah berbincang dengan pemain, kita akan lihat dalam satu atau dua minggu lagi.”