Saya tak lihat pemain warisan berbeza dari pemain tempatan – Bojan Hodak
Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak tidak melihat kemasukan pemain-pemain warisan dalam pasukan di Liga Malaysia akan menjejaskan pemain tempatan.
“Bagi saya pemain tempatan dan warisan juga mempunyai passport yang sama jadi saya tidak melihat sebarang perbezaan pun. Saya rasa ia tidak akan memberi kesan pun kepada pemain tempatan.
Isu ini anda sepatutnya tanya Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kerana semalam beliau ada mengkritik dan saya harap dia tidak dapat surat amaran kerana sebelum ini apabila saya cakap perkara yang hampir sama dua tahun lalu saya dapat surat amaran,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Bojan berkata walaupun pasukannya berjaya rangkul trofi Piala Malaysia baru-baru ini, namun beliau masih merasakan pasukannya kerdil berbanding pasukan-pasukan lain terutamanya dari segi bajet pasukan.
“Saya tahu ramai yang meletak harapan tinggi selepas kami berjaya menang Piala Malaysia jadi mereka rasa kami akan menang lagi, malangnya tidak. Kami sebuah pasukan yang tidak mempunyai bajet besar jadi kami tak mampu nak bersaing dengan pasukan besar seperti JDT, Terengganu, Sabah dan beberapa lagi.
Bagaimanapun kami akan teruskan perancangan kami seperti sebelum ini dan saya percaya walaupun kami mempunyai bajet yang kecil tetapi kami mampu capai keputusan bagus.”
Bojan terus memberi pujian kepada pemain-pemainnya yang disifatkan sebuah pasukan yang sentiasa bekerja keras dan mampu beri saingan sengit setiap kali bertemu pasukan besar.
Sementara itu, Bojan yang ditanya mengenai penolong jurulatihnya Shukor Adan yang dikhabarkan antara beberapa nama jurulatih tempatan yang akan dilantik sebagai penolong ketua jurulatih baru Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata ia satu berita yang bagus untuk Shukor.
“Jika mereka pilih Shukor saya rasa ia bagus untuk beliau, tetapi saya secara peribadi merasakan masih awal memandangkan beliau baru sahaja selesai kursus kejurulatihan lesen B. Saya rasa seseorang yang lebih berpengalaman diperlukan untuk mengisi jawatan itu.”
Bojan bagaimanapun tiada masalah untuk melepaskan Shukor sekiranya beliau benar-benar dilantik.