Shukor Adan rasa belum layak jadi pembantu ketua jurulatih skuad kebangsaan

439

Shukor Adan menjawab teka-teki peminat bolasepak negara tentang khabar angin mengenai dirinya menjadi antara 10 individu yang tercalon sebagai pembantu ketua jurulatih baru skuad kebangsaan Kim Pan-gon, dengan menolak dakwaan tersebut. 

“Sekiranya benar khabar angin ini berlaku, sejujurnya saya belum bersedia. Bagi saya, seandainya saya dilantik sekalipun saya akan menolak kerana apa yang lebih penting ialah bagaimana saya ingin membangunkan karier sebagai jurulatih, berbanding melakukan sesuatu yang saya rasa tidak logik untuk diri saya.”

Ujarnya kepada Harimau Malaya

Sebelum ini, nama bekas pemain KL City itu menjadi bualan apabila pengurusan FAM memberi bayangan jawatan tersebut mempunyai calon yang ada nama panjang, nama pendek dan nama besar. Tambahan pula, Shukor adalah antara individu yang dilantik menjadi badan bebas siasatan FAM yang lalu.


Hal tersebut membuktikan bahawa Shukor adalah individu yang cukup berkelayakan untuk peranan besar membabitkan skuad kebangsaan memandangkan pengalamannya selama lebih dari 20 tahun sebagai pemain, selain ketegasan dan disiplin beliau di atas padang yang diakui sendiri oleh Bojan Hodak dan para pemain KL City.

Shukor merasakan dirinya masih terlalu ‘bayi’ untuk peranan sebesar itu kerana baru saja berkecimpung dalam bidang kejurulatihan. Malah, mengakui beliau baru sahaja mendapatkan lesen B dalam bidang tersebut.

“Perjalanan saya dalam kejurulatihan bolasepak masih baru, saya memang ada bercita-cita untuk ke arah tersebut suatu hari nanti tapi untuk jangka masa pendek, saya tak pernah fikir sebab saya baru sahaja mendapat Lesen B, keputusan juga baru keluar dua hari yang lalu, belum Lesen A ataupun Pro A lagi”

Tambahnya lagi

Walaupun menolak, pemain yang digelar “The Boss” itu tetap menganggap khabar angin itu sebagai suatu penghargaan buat dirinya yang baru setahun jagung dalam bidang kejurulatihan dan diletakkan harapan untuk menggalas tanggungjawab yang besar lebih-lebih lagi yang melibatkan skuad kebangsaan.

Shukor dianggap pemain veteran yang bertuah kerana menamatkan kariernya dengan gemilang dalam kancah bolasepak negara dengan menjulang Piala Malaysia bersama pasukan KL City sebagai jurulatih dan pemain, yang mana tidak ramai pemain di Malaysia mendapat peluang sebegitu.

Tonton video penuh sesi temubual bersama Shukor Adan di channel rasmi Harimau Malaya