Kekal ‘diikat’ Red Giants, ACL2 menanti ledakan gol Faisal Halim
Sejak sepanjang minggu lalu, Selangor FC telah mengumumkan barisan pemain yang akan meneruskan perjalanan mereka bersama pasukan tersebut buat musim 2024/2025 yang akan bermula Mei depan.
Selain ramai pemain muda dan berbakat yang turut tersenarai, nama bintang penyerang utama, Faisal Halim juga terbukti tidak tercicir.
Beliau yang beberapa bulan lalu dipalit gosip hangat yang mengatakan dirinya akan berpaling ke pasukan juara konsisten Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), nampaknya akan kekal mengutip minit perlawanan bersama The Red Giants musim ini.
Ternyata Faisal merupakan ‘nadi utama’ buat pasukan tersebut setelah menjadi penjaring tempatan terbanyak di Liga Super 2023.
Seakan tiada logiknya juga andai mereka ingin melepaskan bintang kesayangan rakyat Malaysia yang telah menghadiahkan jaringan sulung bersama Harimau Malaya di Piala Asia 2023 minggu lalu.
Pasukan itu membuat keputusan yang tepat untuk mengekalkan penyerang yang popular dengan tagline dan aksi ‘Siu’ itu.
Disember lalu, Selangor FC juga telah mencipta sejarah tersendiri apabila pasukan itu berjaya melakar nama ke pentas Asia iaitu ke AFC Champions League 2 (ACL2)!
Disana tentunya Faisal atau lebih mesra dengan panggilan ‘Mickey’ akan menjadi tumpuan ramai penyokong yang pastinya semakin bertambah sejak penampilan ‘bergayanya’ tempoh hari.
Pastinya, pelbagai lagi bentuk ledakan gol dan gaya jaringan hebat yang bakal beliau pamerkan di kejohanan tersebut.
ACL2 juga sudah pasti akan menjadi platform baharu buat dirinya serta kesemua bintang Selangor FC untuk menyinar lebih cerah dan mengumpul seberapa banyak pengalaman beraksi bersama antara kelab-kelab terbaik Asia.
Ianya juga baik untuk sedikit sebanyak dijadikan sebagai ‘latihan’ untuk membiasakan diri dalam bertemu pemain hebat yang lain serta mempelajari corak permainan mereka.
Terbukti keputusan Mickey yang ‘mengangguk’ untuk teguh bersama pasukan King of Malaya adalah suatu keputusan yang terbaik buat masa ini memandang beliau boleh terus menjadi penyerang utama pasukan itu.
Ada baiknya berbanding beralih ke kelab lain yang berkemungkinan terpaksa bergilir-gilir menggunakan khidmatnya di atas padang disebabkan kehebatan pemain posisi sama yang sudah ramai.
Mickey yang akan menyambung kontrak tahun keduanya bersama Selangor FC akan selamanya disegani rakyat Malaysia atas aksi cemerlangnya di Piala Asia 2023.