Syafiq John jurugambar penuh ‘jiwa’

1,498

Kemenangan KL City menjulang Piala Malaysia edisi ke-100 musim lalu bukan hanya satu mimpi indah menjadi kenyataan bagi penyokong pasukan anak kota, malah pegawai media yang merangkap jurugambar rasmi pasukan itu, Syafiq John turut merasakan detik penuh sejarah itu dengan penuh rasa terharu dan bangga.

Salah satu gambar hasil potretan beliau iaitu gambar pemain tengah KL CIty, Romel Morales sewaktu final Piala Malaysia itu telah dinobatkan sebagai ‘photo of the year’ oleh The Biddy’s, sebuah organisasi yang mengiktiraf hasil seni jurugambar media di Malaysia. Gambar tersebut juga sempat tular di media sosial beberapa ketika. John menceritakan detik manis itu kepada Harimau Malaya.


“Romel datang pada saya celebrate depan kamera, beliau mengucup lensa kamera dan memegang kepala saya sambil berkata “we’re gonna be champions!”, membuatkan air mata saya jatuh berjujuran”

Ujarnya kepada Harimau Malaya

Pemilik nama sebenar Muhammad Syafiq Bin Khir Anuar yang berusia 26 tahun itu merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Fotomedia Kreatif (Kepujian) UiTM Puncak Alam dan merupakan anak sulung daripada dua beradik. Ini merupakan tahun kedua beliau bersama KL City sebagai pegawai media dan jurugambar rasmi. Sebelum ini beliau berkhidmat bersama KLFA.

Gambar yang tular dan memenangi anugerah ‘Photo of The Year’ oleh The Birdy’s turut mendapat perhatian ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak

Meskipun ada yang mempersoalkan kewajaran foto miliknya menerima anugerah tersebut, John merasakan mungkin tidak semua orang mempunyai pandangan yang sama. Namun dari kaca mata jurugambar dan juri berpengalaman, mungkin foto tersebut cukup memenuhi ciri-ciri dan nilai yang diperlukan. Apa yang membezakan foto tersebut adalah nilai sentimentalnya.

Mengakui yang beliau sendiri tidak menjangkakan kemenangan itu kerana lawan mereka pada malam tersebut adalah sebuah kelab yang begitu besar. Foto tersebut cukup menyimpan moment indah itu. Secara peribadi, John sendiri merasa amat berbangga dengan hasil kerja dan merasa itu adalah salah satu dari hasil kerja terbaiknya.

“Gambar tersebut adalah gambar yang paling ‘mahal’ yang pernah saya hasilkan selama saya menjadi seorang jurugambar kerana di stadium ketika itu, saya seorang sahaja yang berpeluang untuk mengambil gambar tersebut”

Tambahnya lagi

John turut berkata bahawa niatnya bukanlah untuk mencabar jurugambar lain, tetapi harapan John adalah agar pencapaiannya ini menjadi satu inspirasi buat jurugambar media lain untuk terus berkarya dan menghasilkan gambar-gambar yang berkualiti.