Stanley Bernard ada ramuan untuk pastikan KL City FC sentiasa harmoni

536

Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard mengakui beliau sangat mengutamakan budaya dalam pasukannya yang mana beliau mahu seluruh pasukan sentiasa dalam harmoni.

“Bagi saya budaya adalah elemen paling utama bagi saya. Saya rasa jika elemen ini tiada kita akan gagal.

Ya kita boleh ambil pemain yang bagus tapi kalau pemain itu tidak mempunyai keharmonian dan tidak mempunyai unity, dan bukan team player ia akan menjejaskan pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Stanley, beliau yang merupakan bekas pemain bola sepak menggunakan pengalamannya sebagai pemain yang pernah melihat sendiri betapa rapuhnya pemain-pemain, jadi beliau mahu cuba mengubahnya.


Tidak merasakan mereka sudah sempurna, namun beliau akan cuba sedaya upaya untuk memastikan keharmonian antara pemain, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan sentiasa terjaga.

Bekas pemain KL itu berkata demikian selepas diminta untuk mengulas beberapa komen daripada pemainnya sendiri yang mengatakan mereka ambil keputusan untuk kekal bersama KL kerana keharmonian yang ada dalam pasukan itu.

Tambahnya lagi, walaupun pasukan KL tidak mempunyai bajet yang besar tetapi pihak pengurusan pasukan sangat mengutamakan kebajikan pemain supaya tiada masalah timbul.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapan pasukan KL untuk menghadapi musim 2022, Stanley berkata beliau bersama pihak pengurusan telah membuat persiapan awal apabila mengambil keputusan untuk mengekalkan ramai pemain musim lalu.

Pada masa sama mereka turut mengambil beberapa pemain muda baru bagi memperkuatkan pasukan berikutan musim ini mereka akan bersaing di saingan Piala AFC.

Malah beliau turut menyuarakan keyakinan pasukan KL mempunyai peluang untuk melepasi peringkat kumpulan.

Sementara itu, beliau yang ditanya samada rela melepaskan bekas pemain yang kini menjadi penolong jurulatih Shukar Adan sekiranya dilantik sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan, Stanley tidak akan menghalang.

“Sebagai seorang penyokong besar Harimau Malaya saya serahkan keputusan itu kepadanya (Shukor). Bagi saya apabila seseorang itu mahu menabur bakti kepada pasukan negara saya akan beri sokongan penuh.”