Kejayaan Nazmi Nasaruddin patut dijadikan inspirasi buat pengadil tempatan lain untuk tingkatkan mutu pengadilan
Disebalik kritikan dan kecaman ramai terhadap kualiti pengadil tempatan, Malaysia tetap mempunyai pengadil yang berkualiti dan Muhammad Nazmi Nasaruddin merupakan salah seorang pengadil terbaik di Liga Malaysia ketika ini.
Tidak hanya hebat dalam liga domestik sahaja, Nazmi turut cemerlang di peringkat antarabangsa apabila menjadi pengadil Malaysia pertama mengadili perlawanan AFC Champions League (ACL) menggunakan VAR (video assistant referee) ketika perlawanan Buriram United menentang Zhejiang FC pada September 2023.
Pada tahun lalu, Nazmi bersama dua pembantunya iaitu Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid telah mengadili enam perlawanan ACL menggunakan VAR termasuk pernah dijemput mengadili beberapa perlawanan Liga Arab Saudi.
Terbaru, beliau sekali lagi membanggakan negara apabila telah terpilih untuk menyertai kursus FIFA World Cup Candidate 2026 sebagai salah seorang calon pengadil utama bagi kejohanan Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 11 Jun hingga 19 Julai.
Susulan itu, Nazmi bakal terbang ke Qatar tidak lama lagi untuk menyertai kursus yang akan berlangsung dari 25 hingga 29 Februari ini.
Dalam pada itu, kejayaan yang dikecapi oleh Nazmi ini sepatutnya dijadikan inspirasi kepada pengadil-pengadil tempatan lain untuk terus tingkatkan mutu pengadilan mereka supaya dapat melebarkan sayap mereka di peringkat antarabangsa.
Ini kerana semua sedia maklum sejak beberapa tahun kebelakangan ini mutu dan kualiti pengadilan dalam saingan liga tempatan menjadi buah mulut ramai peminat bola susulan keputusan kontroversi.
Perkara itu terus berlanjutan sehingga ada pengadil yang dikenakan hukuman penggantungan untuk satu tempoh dek keputusan kontroversi yang dilakukan dalam perlawanan yang diadilinya.
Berikutan mutu pengadilan yang semakin membimbangkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) telah mengambil inisiatif yang cukup bagus iaitu memperkenalkan teknologi VAR dalam saingan Liga Super pada musim 2024.
Kerja keras itu nampaknya akan menjadi kenyataan apabila FAM semalam memaklumkan bahawa delegasi FIFA akan ke Malaysia bagi tujuan pemantauan, penilaian teknologi dan pengiktirafan penggunaan VAR di Liga Super.
Malah negara kini mempunyai seramai 21 pengadil, 20 penolong pengadil dan sembilan ‘Replay Referee’ yang telah selesai menjalani latihan VAR.
Jadi dengan adanya VAR ia sedikit sebanyak dapat membantu pengadil mengadili perlawanan dengan lebih baik kerana mereka kini boleh membuat keputusan dengan lebih jelas dan tepat sekiranya tidak pasti menerusi bantuan VAR.
Dengan adanya VAR ini juga, kita harapkan negara akan melahirkan lebih ramai pengadil berkualiti yang mampu melebarkan sayap mereka di peringkat antarabangsa satu hari nanti.