Exco PSSI buat hal lagi, apa respon penyokong Indonesia?
Adakah fans Indonesia akan terus bersabar dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI)?
Ketika isu mengenai Haruna Soemitro yang mengkritik Shin Tae-yong, mereka sudah mengugut untuk berdemo di hadapan pejabat PSSI. Adakah PSSI akan terus membiarkan fans naik ‘bengang’ dan benar-benar melakukan perkara tersebut selepas ini?
Satu-persatu tindakan Exco PSSI terus mengundang kemarahan penyokong bolasepak Indonesia. Terbaru adalah dakwaan tentang salah seorang Exco PSSI, Mochamad Iriawan menolak untuk menerima jemputan dari Toulon Tournament menjadi isu hangat di arena bolasepak negara seberang itu.
Toulon Tournament adalah sebuah kejohanan bolasepak di Perancis yang menjemput pasukan kebangsaan B-17 dan B-23 dari negara-negara tertentu. Malah, bintang bolasepak dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Thierry Henry pernah bermain di kejohanan tersebut. Penyokong bolasepak Indonesia merasakan ia adalah sebuah kerugian besar apabila menolak tawaran pasukan kebangsaan mereka beraksi di kejohanan tersebut.
Jika benar sampai terjadi desakan PSSI untuk dirombak, ia merupakan satu situasi yang kurang baik bagi badan induk bola sepak negara itu kerana ini bukan pertama kali terjadi dalam sejarah.
Sebelum ini, Nurdin Halid yang pernah menjadi Exco PSSI berundur dari jawatannya setelah didesak penyokong akibat dari kontroversi korupsi yang dilakukannya. Begitu juga dengan La Nyalla Mattalitti yang menerima nasib yang sama.
Apa yang lebih mengejutkan, Iriawan dikatakan menjawab komen netizen dan seakan ‘berperang’ komen di media sosial. Komen yang diberikan juga agak lantang dan berbaur memerli penyokong. Apakah Iriawan tidak takut bakal ‘dibanned’ penyokong bolasepak Indonesia?