Skuad utama KL City FC yang baru akan punya standard kerana ada kemungkinan kita akan main di pentas Asia – Stanley Bernard
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard memberitahu bahawa pihaknya akan mengumumkan sesuatu yang baru dalam tempoh dua minggu lagi yang mana skuad yang ditampilkan musim ini akan mempunyai standard tinggi.
Menurut Stanley, keutamaan yang diberikan kepada skuad utama adalah kerana mahu memastikan pasukan bersedia untuk main di pentas Asia.
“Kita akan umumkan segala-galanya dalam tempoh 14 hari kerana ketika ini kita sedang memastikan bajet kita cukup untuk sepanjang musim ini. Ketika ini kita sudah mempunyai bajet untuk tujuh hingga ke lapan bulan, jadi kita perlu usahakan lagi.
Dalam tempoh 14 hari kita akan ada skuad penuh, pelancaran jersi dan padang latihan. Jika kita tiada padang latihan di KL, kita akan sewa stadium PKNS seperti musim lalu. Kita ada padang latihan di Pudu Ulu tapi ia akan digunakan oleh skuad muda.
Skuad utama akan ada standard tersendiri kerana ada kemungkinan kita akan main di pentas Asia,”
katanya.
Jelasnya lagi, apa yang dilakukan untuk musim ini sama seperti yang dilakukan selepas mereka berjaya menjadi juara Piala Malaysia 2021 dan kemudiannya berjaya mencipta sejarah menjadi naib juara Piala AFC 2022.
Dalam pada itu, Stanley juga memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan sesi Townhall bersama peminat yang mana peminat akan berpeluang untuk bertemu dengan barisan pemain skuad The City Boys.
Beliau pada masa sama turut menyeru peminat untuk turun ke stadium untuk beri sokongan kepada pasukan kerana mereka bukan lagi pasukan ‘lauk’ sebaliknya pasukan yang sentiasa mampu mencabar kedudukan teratas Liga Super.
Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa skuad KL City akan mengadakan latihan pra musim dengan menyertai kejohanan Piala Menteri Wilayah.
“Pra musim kita, kita sedang memastikan kita ada Piala Menteri Wilayah yang mana kita akan cuba dapatkan empat pasukan untuk bersaing dalam kejohanan itu berbanding dua pasukan sebelum ini.
Saya yakin pra musim kita kuat pada musim ini walaupun nampak seperti kita lewat.”