Pemain Indonesia, Vietnam yang beraksi di Piala Asia 2023 akan turut beraksi di Piala Asia B-23 April ini, Malaysia?
Selepas tamat kejohanan Piala Asia 2023 baru-baru ini, peminat bola sepak Asia kini kembali bersemangat apabila Doha, Qatar akan sekali lagi menjadi tumpuan untuk kejohanan Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung dari 15 April hingga 3 Mei ini.
Peminat pasukan kebangsaan Malaysia turut teruja kerana skuad muda negara turut akan turun beraksi dalam kejohanan itu dalam Kumpulan D bersama Vietnam, Kuwait dan Uzbekistan.
Selain Vietnam, dua lagi pasukan dari Asia Tenggara (ASEAN) yang juga merupakan musuh tradisi Indonesia dan Thailand turut sama akan beraksi.
Skuad negara layak Piala Asia dibawah bimbingan E. Elavarasan, namun kemudian melepaskan jawatan tersebut kerana mahu fokus pada tugasnya sebagai penolong ketua jurulatih Kim Pan-gon dalam skuad senior.
Tugas itu kini digalas oleh Juan Torres Garrido yang mana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengumumkan senarai pemain untuk ke kem latihan pusat untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan itu.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin baru-baru ini juga telah memberitahu bahawa skuad negara akan mengharungi sekurang-kurangnya enam perlawanan persahabatan iaitu tiga di Malaysia dan tiga di Qatar.
Dua pasukan yang sudah mengesahkan akan menjadi lawan adalah India dan Qatar serta masih menunggu jawapan daripada pasukan Jepun.
Hamidin turut berkata skuad negara akan terbang ke Doha lebih awal supaya pemain mendapat masa untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan perbezaan waktu di sana.
Bagaimanapun persoalan yang berada di fikiran peminat ketika ini siapakah pemain yang akan dipanggil untuk memperkuatkan pasukan.
Suka atau tidak, peminat masih berharap agar bintang sensasi Arif Aiman dapat memperkuatkan pasukan kerana kehadiran pemain itu akan memberi nilai tambah dan kualiti di bahagian serangan.
Tambahan, Arif mempamerkan aksi yang cemerlang ketika bersama skuad Harimau Malaya ketika beraksi di Piala Asia 2023 baru-baru ini yang mana beliau turut menjaringkan gol.
Biarpun tampak mustahil untuk memanggil Arif untuk bersama skuad B-23 negara, namun pengurus pasukan, Dato’ Sri Shahril Mokhtar berkata beliau akan sentiasa cuba untuk mohon pemain itu, namun ia semua bergantung kepada pucuk pimpinan.
Mungkin akan ada segelintir pihak yang akan mengatakan Arif sudah bermain dengan skuad senior, jadi pemain itu tidak ‘layak’ untuk main dengan skuad B-23.
Adakah sebab sudah pernah bermain dengan skuad senior menjadi faktor utama Arif tidak lagi layak bermain untuk skuad B-23? Jika ya, ia sesuatu yang cukup mengecewakan untuk didengar.
Tidak perlu melihat kepada pasukan gergasi seperti Jepun dan Korea Selatan, lihat sahaja pasukan dari negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam yang tetap memanggil pemain-pemain muda mereka biarpun sudah bermain bersama skuad senior.
Pada kejohanan Piala Asia baru-baru ini, Vietnam membariskan lapan pemain berusia B-23 manakala Indonesia pula menjadi salah sebuah pasukan termuda pada kejohanan itu dan kesemua pemain-pemain ini akan beraksi pada Piala Asia B-23 nanti.
Jika pemain-pemain ini boleh ‘turun’ bermain untuk skuad B-23, mengapa Arif tidak boleh?
Apa pun kita harapkan apabila senarai pemain B-23 yang diumumkan kelak adalah pemain yang terbaik untuk bawa harapan negara di pentas Asia.