Intan Serah umpama ‘Erling Haaland Malaysia’

3,687

Nama Intan Serah tidak asing lagi dalam arena futsal negara. Serah kembali menyinar di arena bolasepak sejurus kemunculan beliau di FAS Super League bersama pasukan The Footsouls.

Walaupun gagal menjuarai piala tersebut, beliau tetap mendapat perhatian dari pengikut liga wanita itu.


Meskipun bermula dengan sukan olahraga, gadis jelita tinggi lampai itu nyata punya minat yang lebih mendalam terhadap futsal dan bolasepak. Jika dilihat dari fizikalnya, ketinggian dan postur badan beliau dilihat sangat memenuhi kriteria sebagai seorang pemain bolasepak. Malah, gambarnya yang tular baru-baru ini disamakan dengan bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland.

Serah sendiri mengakui beliau kelihatan seakan-akan Erling Haaland

Serah pernah beraksi bersama pasukan futsal Selangor, Perak dan Kuala Lumpur dan juga pernah membintangi filem ‘Gol dan Gincu Vol. 2’. Bersama pasukan The Footsouls, beliau dianggap sebagai ‘key player’. Kemunculannya di atas padang sentiasa dengan misi untuk melengkapkan hantaran.

Selain itu, Serah juga dikatakan seorang pemain yang mempunyai teknik set piece yang baik, tendangan percuma beliau dianggap sebagai ‘mimpi ngeri’ oleh pihak lawan. Malah, sepakan jarak jauh beliau juga dianggap berbahaya. Serah juga dianggap sebagai watak penting untuk menggerakkan jentera serangan pasukan.

Kelincahan beliau di atas padang seakan-akan tidak pernah berhenti berlari dan menekan pihak lawan. Oleh kerana itu beliau dianggap mempunyai work rate yang bagus sebagai pemain. Dari segi attitude pula, Serah dikatakan sebagai ‘magnet’ yang menyatukan sesebuah pasukan. 

Serah juga mempunyai semangat juang yang tinggi. Pada perlawanan akhir Liga Super FAS, ketika pasukan beliau menentang Negeri Sembilan Football Club, beliau mengalami kecederaan, namun beliau tetap meneruskan perjuangan kerana mengetahui dirinya adalah harapan dan sandaran pasukan untuk kejuaraan tersebut.

Harapan peminat bolasepak Malaysia agar kemunculan pemain wanita berbakat ini mendapat perhatian pihak sepatutnya. Di samping itu, setiap negeri harus mengambil inisiatif menyediakan platform liga seperti yang dilakukan FAS untuk mencungkil bakat dan potensi pemain bolasepak wanita negara.