Kelantan United FC akan selesaikan gaji skuad B-23 & Piala Presiden minggu ini – Rozi Muhamad

156

Presiden Kelantan United FC, YB Rozi Muhamad mengakui terdapat masalah tunggakan gaji untuk skuad B-23 dan juga skuad Piala Presiden, namun beliau berkata masalah tersebut akan diselesaikan dalam minggu ini.

“Ya, kita akui masih ada masalah berkaitan gaji kepada pemain B-23 dan pemain Piala Presiden dan setakat ini Alhamdulillah perancangan yang kita buat untuk menyelesaikan gaji berjalan dengan baik.

Terbaru, esok (minggu ini) kita akan selesaikan sebulan gaji skuad B-23 dan selesaikan sepenuhnya untuk skuad Piala Presiden,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelasnya lagi, baki tunggakan gaji skuad B-23 akan diselesaikan mengikut jadual yang telah ditetapkan tapi menegaskan kesemua tunggakan itu akan selesai sebelum musim baru bermula iaitu akhir April.


Rozi turut memberitahu bahawa masalah tunggakan gaji ini tidak melibatkan skuad senior yang beraksi di Liga Super.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa pihaknya kini sedang rancak membuat persiapan pasukan bagi mengharungi musim 2024/25.

Rozi yang ditanya mengenai kehadiran bintang Palestin, Oday Kharoub yang beraksi di Piala Asia 2023 baru-baru ini bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara itu buat masa ini.

“Setakat ini kita belum buat secara rasmi lagi, tapi sudah ada beberapa pemain import yang dikenal pasti cuma keputusan akhir sahaja.

Pemain tempatan juga sudah 90% selesai pemilihan, cuma tunggu lengkap sepenuhnya.”