Suka atau tidak, TMJ memang benar tentang bola sepak
Mengaku saja: Liga Malaysia secara keseluruhannya masih lagi diuruskan seperti amatur.
Demi kebaikan pembangunan bola sepak Malaysia, tidak kira pasukan kebangsaan atau kelab untuk maju ke depan, pemegang taruh terutamanya pihak pengurusan memainkan peranan penting.
Suka atau tidak, apa yang disebut oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebenarnya betul – baginda betul dari setiap sudut. Tunku sendiri mengakui, “Ia luar biasa jika peminat dari pasukan lawan suka saya atau JDT”, tetapi sekurang-kurangnya JDT sejak sembilan tahun lalu dengan pelbagai usaha dibuat telah menetapkan penanda aras untuk pasukan lain ikut dan melakukan perkara betul dalam terma pengurusan bola sepak. Ia telah dibuktikan dengan kejayaan yang telah berjaya mereka rangkul.
Apa pun, lupakan masa lampau, persengketaan dan mulakan tahun 2022 dengan muka surat baru.
Sebagai pencinta bola sepak Malaysia, tiba masa untuk lihat ke depan, dengan kedatangan Kim Pan-gon dan keazaman untuk ‘perubahan drastik’ daripada badan induk dan kelab, kita dapat melihat sinar harapan untuk bola sepak Malaysia semula.
Setiap kejayaan datang dari usaha keras. Ramuan kejayaan adalah rahsia terbuka. Tetapi samada anda boleh lakukan atau tidak, itu cerita lain.
Kita tidak perlu melihat jauh. Lihat sahaja timur di Jepun dan Korea Selatan. Tiada siapa boleh lupa yang JFA pernah datang ke Malaysia untuk melakukan kajian sebelum penubuhan J-League, dan selebihnya adalah sejarah.
Mampukah kita mempunyai Takumi Minamino, Son Heung-min atau Chanathip Songkrasin sendiri?Harimau Malaya tidak mahu memperbaiki ranking dunia FIFA? Mahukah kita bermain dengan England atau Brazil dalam perlawanan persahabatan? Sudah tentu mahu. Kita semua impikan perkara itu.
Untuk merealisasikan impian, setiap pemegang taruh perlu mengikut jejak langkah yang sudah terbukti berjaya dengan betul demi kebaikan bola sepak Malaysia. Jika ia tidak dilaksanakan secara kolektif, mereka sepatutnya menerima segala kritikan dan kecaman daripada jurulatih, pemain dan penyokong dengan hati yang terbuka.
1. Man management
Persefahaman dan ikatan (bonding) diantara pihak pengurusan, pengurus, jurulatih dan pemain sangat penting. Terutamanya diantara ketua jurulatih dan pemain-pemain.
Anda mungkin tidak mempunyai kerjaya yang cemerlang sebagai pemain, tetapi jika kita dapat memahami semua orang yang mana kita semua hanya manusia, apa yang lebih penting dari pengurusan sumber manusia?
Pengurus atau ketua jurulatih yang bagus perlu tahu baik buruk dan mempunyai kemahiran media dan pengurusan krisis. Hormat daripada pemain? Ia akan datang secara semulajadi.
Adakah Jurgen Klopp seorang pemain hebat? Sudah semestinya tidak. Tetapi adakah beliau bagus sebagai pengurus? Ia boleh dipertikai tetapi secara umumnya jawapannya sudah semestinya YA.
Klopp seorang yang benar-benar mencerminkan semangat dan moto Liverpool iaitu ‘You’ll Never Walk Alone”. Apabila pemain dapat berjuang dan ‘mati’ untuk anda di padang, beliau bukanlah pengurus yang tidak bagus.
Walaupun Borussia Dortmund dan Liverpool bukanlah pasukan yang mempunyai kewangan kukuh atau ‘luar biasa’ seperti Manchester City, Newcastle, Paris Saint-Germain, Real Madrid atau Bayern Munich, apa yang Klopp terus menerus lakukan untuk pasukan kesayangannya sangat menakjubkan.
Pada masa yang sama, nama seperti Hansi Flick, Carlo Ancelotti, Zinedine Zidane dan lagenda Manchester United, Sir Alex Ferguson adalah beberapa nama pengurus yang cukup hebat terutamanya dari segi man management. Pilihan ini adalah subjektif tetapi ini sepatutnya direnung-renungkan untuk Kim Pan-gon, atau mana-mana jurulatih terutamanya jurulatih tempatan.
Jika ada mana-mana pemain yang mengambil alih daripada anda dan membuat taktik di papan putih di bilik persalinan untuk anda, ia bermakna anda sudah hilang hormat, kepercayaan dan segala-galanya.
2. Daya saing
Untuk mencipta persaingan untuk setiap posisi – ini yang mahir dilakukan Manchester City dan Pep Guardiola. Anda mungkin akan pertikai yang hanya pasukan besar dan kaya mampu melakukannya. Tetapi sebenarnya tidak perlu pun – terutamanya apabila ia membabitkan pasukan kebangsaan.
Agak tidak munasabah untuk mengatakan tanpa pasukan dan pemain tertentu, pasukan kebangsaan tidak dapat dibentuk. Ia sebenarnya tidak benar. Bayern antara pasukan yang mempunyai banyak pemain core Jerman, tetapi tanpa Bayern bolehkah Flick membentuk pasukan kuat? Sudah tentu! Cara Bayern lakukan, dan cara mereka membentuk pemain tempatan terbaik dan peluang untuk bermain mengikut merit, fasiliti terbaik dan lain-lain, ia hanya akan memberi keuntungan kepada DFB dan pasukan kebangsaan secara umumnya.
Alasannya mudah. Jika Thomas Muller dan Manuel Neur tidak cukup bagus, bolehkah mereka bermain dengan kerap di bawah Flick sebelum dan selepasnya Julian Nagelsmann? Mereka perlu merebut tempat, sama seperti pemain lain. Adakah Robert Lewandowski dijamin akan dapat main kesebelasan utama? Tidak jika prestasi beliau tidak konsisten dan berada pada tahap terbaik dan beliau akan diganti. Itu adalah fakta.
Seorang jurulatih bagus sepatutnya ada ‘pening kepala yang menggembirakan’ saja dengan membuatkan sesiapa di dalam pasukan berasa tidak selamat atau dijamin akan turun beraksi. Dengan ini barulah anda dapat melihat pemain-pemain akan bersaing bermati-matian untuk mendapat tempat sebagai ‘starting eleven‘, ataupun sekurang-kurangnya duduk di bangku simpanan. Akhirnya sebuah pasukan kuat dan ampuh mesti dapat dibentuk. Keputusan dan kejayaan akan datang menyusul.
3. Tahap kecergasan perlawanan
Pemilihan perlu berdasarkan MERIT. Ini bermakna tiada pemain kegemaran dan bukan berdasarkan reputasi atau kelab yang diwakili. Kekurangan minit permainan dan perlawanan, tidak kira siapa pun anda, anda tidak patut dipanggil untuk sertai skuad kebangsaan.
Tahap kecergasan dan tahap kecergasan perlawanan (match fitness) adalah dua perkara berbeza. Anda tidak boleh meningkatkan prestasi atau on form jika anda hanya memanaskan bangku simpanan atau kurang minit permainan.
Anda mungkin akan beraksi baik walaupun anda masuk sebagai pemain gantian. Tetapi dalam kebanyakan kes ia tidak akan bertahan lama dan tidak akan konsisten. Kekurangan minit permainan dan ‘karat’ akhirnya akan memjejaskan karier anda jika anda tidak bekerja cukup keras dan bersungguh-sungguh untuk merebut tempat di kelab sendiri.
Di Malaysia, untuk pasukan kebangsaan atau kelab yang tidak mempunyai saingan peringkat Asia, tidak dapat dinafikan intensiti permainan bagai langit dengan bumi jika hendak dibandingkan dengan pemain-pemain Jepun, Korea Selatan, Iran dan beberapa pasukan Asia lain, belum kira lagi pasukan gergasi dari Eropah dan Amerika Selatan. Jadi soal ‘keletihan’ atau ‘terlalu penat’ tidak sepatutnya dibangkitkan.
4. Berani dan telus
Semua orang sepatutnya berani, jujur dan telus. Anda tidak boleh menipu seseorang selama-lamanya sebagaimana ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’.
Anda akan dihormati jika tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
5. Terus terang dengan peminat
Anda bukan sesiapa tanpa peminat. Peminat berhak tahu mengenai apa sahaja yang anda buat, kerana mereka sahaja yang akan terus bersama anda tidak kira waktu jatuh dan bangun.
Jika anda menghampakan peminat sendiri, anda tipu peminat anda, ia pasti akan membawa padah yang anda sendiri tidak akan terjangka.
Dialog terbuka dan sesi soal jawab perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali diantara badan pengurusan, kelab dan peminat. Apabila ia dibuat terbuka, pastikan semua pihak terlibat.
Untuk perkara ini, peminat tidak perlu bersikap ekstrim dan tidak boleh protes tanpa sebab. Jika dilihat kelab peminat Malaysia secara umumnya lebih berlembut berbanding peminat dari negara Eropah dan Amerika Selatan, jadi jangan risau nyawa anda terancam. Kami rakyat Malaysia tidak buat perkara seperti itu.
“Majulah bola sepak untuk negara!”