Mampukah TCH ulangi magis bersama Selangor FC di Police Tero FC?

141

Tanda tanya mengenai destinasi bekas ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe akhirnya terjawab juga dengan tekaan ramai tepat apabila kelab dari Thai League 1 iaitu Police Tero FC mengumumkan pelantikan jurulatih baru semalam.

Penghijrahan Cheng Hoe ke Thailand sesuatu yang mengejutkan ramai peminat terutamanya peminat Selangor sendiri yang tidak menyangka beliau meninggalkan pasukan ketika saingan Liga Super musim baru bakal membuka tirainya pada Mei ini.


Dengan tekaan ramai peminat mengenai kelab barunya itu menjadi kenyataan, maka timbul pelbagai komen ‘nakal’ antaranya menyifatkan pasukan Police Tero menjadi ‘transit’ sebelum kembali ke Liga Malaysia tidak lama lagi.

Ini kerana pasukan itu dikatakan sedang dalam masalah kewangan sekaligus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai perpindahan beliau ke sana.

Bagaimanapun tolak ketepi segala spekulasi dan komen mengenai penghijrahan kontroversi ini sebaliknya memberi fokus apa yang pengendali dari Kedah itu mampu bantu pasukan barunya.

Berdasarkan kedudukan semasa Thai League 1, Police Tero  berada di kedudukan ketiga tercorot selepas 19 perlawanan apabila hanya berjaya menang lima perlawanan, seri empat dan kalah 10 kali.

Dengan baki 11 perlawanan liga, mampukah Cheng Hoe mengulangi magisnya ketika mengambil alih pasukan Gergasi Merah pada pertengahan musim 2022.

Ketika itu pasukan yang diberi jolokan King Of Malaya sedang bergelut dengan prestasi ‘yo yo’ dan pelantikan beliau berjaya mengubah sepenuhnya corak permainan pasukan termasuk mempamerkan prestasi cemerlang hingga ke hujung musim.

Sentuhan Cheng Hoe pada musim lalu turut menyaksikan beliau berjaya membawa pasukan mara ke pentas Asia di mana Selangor akan beraksi dalam saingan AFC Champions League 2 (ACL) untuk musim 2024.

Pengalaman luas dan kredibiliti beliau pastinya ditagih oleh Police Tero untuk menyelamatkan pasukan itu dari terus terjerumus ke tangga tercorot liga.

Berjaya atau tidak beliau mengulangi kejayaan sama atau tidak, sama-sama kita tunggu dan lihat.