Kembali ke ‘zaman gelap’, ini bukan kali pertama! Sang Kenari pasti akan bangkit semula
Musim lalu peminat Kedah Darul Aman FC (KDA) cukup teruja sejak pasukan kesayangan diambil alih oleh pemilik baru yang cukup terkenal dan perancangan yang dilakukan cukup hebat termasuk berjaya membawa masuk ketua jurulatih hebat Nafuzi Zain untuk membina semula pasukan itu.
Biarpun melakukan rombakan besar-besaran, namun dibawah kendalian pengendali baru pasukan Sang Kenari berjaya mempamerkan prestasi baik sepanjang musim dan menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat.
Namun ‘ku sangkakan panas hingga petang, tapi hujan di tengahari’, bermula pertengahan musim sudah ada kedengaran berita yang kurang enak apabila dilaporkan pasukan mengalami masalah kewangan.
Disebalik masalah yang dihadapai, Nafuzi dan anak buahnya tetap memberikan persembahan yang terbaik malah mereka menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri satu mata dan menjaringkan tiga gol menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketika itu iaitu Khamis Idris dan pemegang saham terbesar KDA, Tan Sri Mohd Daud Bakar telah tampil mengesahkan pasukan berdepan masalah kewangan dan berjanji akan menyelesaikan masalah itu sebelum musim baru bermula.
Nasib KDA kini bagai ‘telur di hujung tanduk’ apabila pasukan itu mempunyai tempoh sehingga esok untuk menyerahkan maklumat tambahan kepada pihak Malaysian Football League (MFL) dan First Instance Body (FIB) untuk mempertimbangkan samada mereka akan kekal dalam Liga Super atau sebaliknya.
Tengahari tadi, KDA telah membuat pengumuman mengenai pelepasan pemain dan pegawai pasukan yang tidak akan bersama mereka lagi untuk musim 2024/25.
Lapan pemain import dilepaskan adalah Ifedayo Olusegun, Bojan Ciger, Moses Atede, Manuel Hidalgo, Amirbek Juraboev, Ebenezer Assifuah, Alan Robertson dan Jonatan Balotelli.
Tidak hanya import, pemain tempatan termasuk barisan kejurulatihan seperti Joe Rozi, Antonio Silvio Santos Concalves termasuk Khairul Azman.
Suka atau tidak, situasi yang berlaku ketika ini kepada pasukan KDA adalah mereka kembali ke ‘zaman kegelapan’ dan perkara ini bukanlah kali pertama berlaku.
Namun bagi peminat Hijau Kuning, mereka yang sudah masak dengan bola sepak di negeri itu tetap berdiri teguh dibelakang pasukan dalam apa jua keadaan.
Mereka yakin bahawa pasukan kesayangan mereka pastinya akan bangkit semula seperti sebelum-sebelum ini.
Terbaru, KDA yang tidak lagi bersama penaja kit Lotto telah mengumumkan penaja baru mereka iaitu ALX (Al Ikhsan) untuk dua musim dengan nilai tajaan berjumlah RM2 juta.
Pengumuman penajaan baru ini merupakan berita ‘gembira’ pertama buat peminat dan ramai yang tidak sabar untuk menanti pengumuman seterusnya daripada pasukan.
Mungkin akan ada kejutan besar? Sama-sama kita tunggu dan lihat.