Nor Haikal sasar untuk berada dalam Top 4 dalam Kejohanan Dunia E-Sukan IESF
Pemain profesional eFootball negara, Nor Haikal Mohd Noh yang berjaya layak ke Kejohanan Dunia E-Sukan IESF Riyadh 2024 berazam untuk membuktikan Malaysia mampu menjadi salah sebuah negara kuasa besar dalam kejohanan itu.
Haikal berjaya layak ke kejohanan dunia itu selepas memenangi Pusingan Kelayakan Malaysia yang mana menyaksikan beliau berjaya tewaskan pemain SUKMA Terengganu dengan 2-1 sekaligus mengesahkan slot sebagai wakil negara ke Kejohanan Dunia E-Sukan IESF.
“Saya berasa cukup bangga dengan kemenangan ini dan terima kasih kepada keluarga dan pasukan saya JDT GBX Sports yang sentiasa menyokong saya. Pusingan kelayakan ini agak sukar buat saya kerana ia dilakukan di seluruh negara dengan 32 pemain terbaik negara bersaing.
Tapi Alhamdulillah saya diberikan rezeki untuk menang 2-1 pada aksi Grand Final menentang pemain dari SUKMA Terengganu, jadi ini adalah satu perkara yang bagus untuk komuniti kita sendiri,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menyedari cabaran besar menantinya pada kejohanan itu nanti, Haikal bagaimanapun tetap bersemangat dan cuba untuk berikan yang terbaik sekaligus cuba berada dalam kelompok empat terbaik dunia.
“Untuk kali ini saya mahu memperbaiki pencapaian saya sebelum ini yang hanya sekadar berjaya mendapat tempat 48 dan 32, jadi saya nak lebih baik.
Saya mengharapkan dapat naik podium atau Top 4, jadi itu sasaran saya kali ini.”
Dalam pada itu, bagi memastikan beliau berada pada tahap terbaik sebelum kejohanan berlangsung, Haikal bakal terbang ke Thailand dan Indonesia untuk menjalani ‘boot camp’ bagi mempersiapkan dirinya.
“Sebelum saya nak ke Riyadh saya sudah berbincang dengan pengurus dan jurulatih jadi kita akan ‘boot camp’ di Indonesia dan Thailand yang mana ia satu perkara yang cukup bagus untuk kita tambah lagi skil-skil kita, jadi saya buat lagi lebih dari sebelum ini dan mengharapkan persiapan kali ini lebih rapi.”
Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan eFootball di rantau Asia Tenggara, Haikal berkata negara seperti Thailand dan Indonesia cukup positif kerana mereka mempunyai liga mereka sendiri dan berharap Malaysia juga akan mengikut jejak langkah sama satu hari nanti.
“Indonesia dan Thailand sangat bagus kerana mereka mempunyai liga sendiri yang masih lagi sedang berjalan. Kemboja juga sudah mempunyai liga elit mereka sendiri.
Jadi saya berharap Malaysia akan ada liga seperti itu satu hari nanti supaya pemain-pemain kita mendapat perlawanan intensiti tinggi sekaligus bersedia apabila beraksi di peringkat antarabangsa.”