Kita dalam RTG bukan dalam kedudukan untuk buat komen prestasi atlet – Stuart Ramalingam

76

Penyelaras Program Road To Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam memberitahu bahawa beliau dan individu yang berada dalam program tidak mempunyai kapasiti untuk membuat sebarang komen mengenai prestasi atlet-atlet.

Menurut Stuart, mereka yang berada dalam RTG adalah untuk memberikan perkhidmatan ‘top up’ kepada atlet sahaja.


“Saya daripada RTG adalah hanya dari segi unsur ‘top up’, dari segi prestasi dan dari segi teknikal dalam pertandingan komen yang lebih sesuai adalah daripada persatuan dan atlet sendiri, daripada RTG kita bukan dalam kedudukan untuk buat komen prestasi atlet,”

katanya.

Tambahnya lagi, pihak RTG telah pun memberikan sokongan tambahan untuk membantu atlet-atlet yang akan beraksi di Sukan Olimpik 2024 Paris nanti dan kejayaan atlet itu perlu datang daripada usaha mereka sendiri.

“Kita harap tambahan sokongan yang diberikan RTG akan membantu atlet-atlet ini, jadi sokongan yang kita berikan selain daripada sokongan khusus kepada penyediaan Olimpik tapi juga di Paris nanti dengan adanya pasukan Malaysia House yang mana kita dapat menyediakan bantuan dan sokongan tambahan.

Tetapi semua didalam tangan atlet yang mana prestasi atlet terletak di atas usaha individu sendiri, kami harap mereka berjaya.”

Dalam pada itu, beliau berkata buat masa ini tiada sebarang mesyuarat yang dibuat sebaliknya hanya operasi sahaja kerana tiada keperluan.

Stuart bagaimanapun berkata sekiranya timbul perkara penting, maka mereka akan mengadakan mesyuarat.

“Kami tiada mesyuarat rasmi buat masa ini, sekarang hanya dari segi operasi tak perlu ada mesyuarat tambahan jikalau tidak diperlukan.

Tetapi jikalau ada topik-topik yang memerlukan satu mesyuarat rasmi diadakan, kita akan buat.”