Kita akan buat keputusan mengenai venue aksi kelayakan Piala Dunia pada Mei – Hamidin Mohd Amin

69

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya akan membuat keputusan mengenai venue untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pasukan kebangsaan Harimau Malaya pada Mei ini.

Menurut Hamidin, ketua jurulatih dan staf teknikal akan melawat Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada awal Mei bagi melihat keadaan padang sebelum membuat keputusan samada perlawanan menentang Taiwan pada 11 Jun ini akan tetap berlangsung di sana atau di venue lain.


“Setakat ini kita akan pada bulan Jun ini di SNBJ tetapi kita akan mengadakan pemeriksaan pada bulan Mei ini iaitu sebulan sebelum kita main menentang Taiwan 11 Jun.

Awal Mei ketua jurulatih dan staf teknikal akan pergi melawat padang tersebut untuk pastikan padang itu sesuai untuk aksi bulan Jun,”

katanya.

Skuad kendalian Kim Pan-gon kini berdepan tugas sukar apabila perlu menang dalam baki dua perlawanan iaitu menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bagi memastikan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak ke Piala Asia 2027 secara merit.

Dalam pada itu, Hamidin berkata beliau kini sedang dalam perbincangan dengan Pan-gon yang mana beliau akan cuba menunaikan permintaan pengendali itu untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu aksi persahabatan antarabangsa atau menentang kelab di Malaysia.

“Perbincangan saya dengan KPG baru-baru ini beliau kalau boleh mahu satu perlawanan negara atau kelab di sini (Malaysia). Kita ingat kalendar FIFA bermula pada 3 atau 4 Jun hingga 11 Jun, jadi saya rasa susah untuk mendapat pasukan untuk bermain pada hujung Mei sebelum kita pergi ke Kyrgyzstan.

Jadi kita akan cuba dapatkan, kalau tak dapat KPG akan lawan kelab dalam aksi persahabatan sebelum kita pergi ke sana.”

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai ambil pemain warisan yang mana beliau pemain yang akan dipilih menyarung jersi Harimau Malaya adalah pemain yang berkualiti.