Reo Hatate terus mengganas di Scottish Premiership

140

Pemain kebangsaan Jepun, Reo Hatate terus mengganas di Scottish Premiership apabila beliau berjaya membantu pasukannya Celtic menumpaskan musuh tradisi Rangers 3-0.

Kemenangan tersebut telah membuatkan Celtic berjaya merampas puncak liga dari Rangers dengan perbezaan satu mata sahaja.


Dalam perlawanan yang berlangsung di Celtic Park, Hatate telah berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama sebelum Liel Abada menjaringkan gol kemenangan mereka seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

Hatate membuka jaringan Celtic seawal minit ke lima menerusi satu rembatan padu di sebelah gawang selepas barisan pertahanan Rangers gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti dari sepakan sudut.

Asakan berterusan dari Celtic sekali lagi membuahkan hasil apabila Hatate yang menerima hantaran daripada rakan sepasukan sekali lagi melakukan rembatan padu dari luar kotak penalti untuk menewaskan Allan McGregor.

Hatate yang mula menjadi tumpuan ramai sejak perpindahannya dari Kawasaki Frontale membuktikan bahawa beliau bukan sahaja seorang pemain tengah berkualiti tetapi juga mampu menjaringkan gol.

Terdahulu Celtic membawa masuk tiga pemain Jepun untuk memperkuatkan pasukan sehingga hujung musim iaitu Yosuke Ideguchi, Daizen Maeda dan Reo Hatate.

Sejak berhijrah ke Celtic, Hatate telah membuat empat penampilan dengan berjaya menjaringkan tiga gol setakat ini.

Celtic kini berada pada prestasi terbaik mereka apabila menang kesemua lima perlawanan terakhir mereka dan jika mereka terus konsisten sehingga hujung musim, mereka dijangka mampu menjulang trofi Scottish Premiership.